SUKMA 2026: Adania, Aiman raih emas beregu campuran tenpin boling

19 Ogos 2026, 10:18 AM
SUKMA 2026: Adania, Aiman raih emas beregu campuran tenpin boling

PETALING JAYA, 19 OGOS: Pasangan tenpin boling Selangor Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Adania Mohd Redzwan menghadiahkan pingat emas dalam acara beregu campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Sunway Megalanes, petang tadi.

Muhammad Aiman dan Adania muncul juara selepas mencatat 2,468 jatuhan pin, sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Pada acara berkenaan, pingat perak menjadi milik beregu Pulau Pinang, Muhammad Adam Darwish Dzulhakimy dan Mayra Khayreena Moh selepas mencatat 2,400 jatuhan pin.

Sementara itu, pasangan Perak, Muhammad Mukhriz Mahathir Mohd Nizar dan Nur Arieyana Zulaikha Kamarul Zaman pula menerima pingat gangsa dengan rekod 2,387 jatuhan pin.

Pada aksi petang tadi, beregu Selangor bermula agak perlahan pada awal permainan namun pasangan Aiman-Adania berjaya mendaki ke kedudukan kedua menjelang set kelima.

Bersambung set keenam, kedua-duanya terus mempamerkan aksi konsisten sekali gus mengenepikan cabaran lawan untuk menduduki tempat pertama.

Kejayaan ini amat manis buat mereka khasnya Aiman yang terlepas pingat dalam acara perseorangan dan beregu lelaki sebelum ini, sekali gus mencapai impiannya untuk mendapat pingat pada penampilan SUKMA sulung dan terakhirnya.

"Untuk acara beregu campuran kita tak meletakkan harapan tinggi untuk pingat tapi kami tetap fokus setiap perlawanan.

"Jadi, saya banggalah sebab untuk acara perseorangan dan beregu lelaki sebelum ini boleh dikatakan gagal. Tapi Alhamdulillah hari ini berjaya meraih pingat," katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Adania berterima kasih atas sokongan moral rakan sepasukan dan kini menumpukan misi meraih pingat dalam acara trio, berpasukan serta masters.

"Insya-Allah, esok ada acara trio, berpasukan dan masters. Saya tak nak cakap saya sasarkan pingat emas, tapi saya akan fokus pada setiap balingan dan melihat hasilnya nanti," katanya.

Setakat ini, Adania telah mengumpul dua pingat emas dan satu perak secara keseluruhan dan berpeluang menyasarkan penambahan pingat sebelum tenpin boling melabuhkan tirainya Sabtu nanti.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.