
SHAH ALAM, 19 OGOS: Atlet terjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal meraih pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengumpul 387.45 mata di Akuatik Selangor di sini, hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu hanya dipisahkan 4.40 mata daripada pemenang pingat emas, Yong Rui Jie dari Wilayah Persekutuan, sekali gus menyumbang satu lagi pingat perak buat kontinjen tuan rumah.
Muhammad Haris menyifatkan pencapaian itu membanggakan apabila berjaya memberikan saingan sengit kepada penerjun kebangsaan.
"Secara keseluruhan, hari ini saya rasa bangga dengan terjunan saya. Ada satu terjunan sahaja yang saya kurang dan itu menyebabkan saya mendapat nombor dua.

"Beza saya dengan nombor satu adalah 4.4 mata dan dia juga penerjun kebangsaan. Jadi saya sangat gembira dapat markah yang sangat dekat dengan atlet negara sedangkan saya hanya atlet negeri," katanya ketika ditemui Media Selangor.
Muhammad Haris berkata beliau mula beraksi di SUKMA pada 2014 ketika masih di bangku sekolah sebelum berehat daripada sukan itu bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau tidak mewakili Selangor pada SUKMA 2024 di Sarawak, namun kembali pada edisi kali ini dengan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.
"Sejak 2024 saya perbaiki prestasi sangat banyak. Pada SUKMA 2024 di Sarawak, saya tidak menang acara 3 meter papan anjal.
"Sekarang saya dah melepasi ramai yang mengalahkan saya pada ketika itu dan dapat nombor dua, malah hampir dapat nombor satu," katanya.








