SUKMA 2026: Raih perak 10,000m, penampilan sulung manis buat Shayathiri

19 Ogos 2026, 1:11 AM
SUKMA 2026: Raih perak 10,000m, penampilan sulung manis buat Shayathiri
SUKMA 2026: Raih perak 10,000m, penampilan sulung manis buat Shayathiri
SUKMA 2026: Raih perak 10,000m, penampilan sulung manis buat Shayathiri

SERDANG, 19 OGOS: Penampilan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi kenangan manis buat pelari muda Selangor, Shayathiri Ratnam apabila meraih pingat perak acara 10,000 meter wanita pada hari keempat saingan olahraga di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), pagi ini.

Atlet berusia 16 tahun itu menamatkan perlumbaan selepas 25 pusingan dengan catatan 41 minit 30.790 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.

Pingat emas menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, manakala Sabah meraih gangsa.

Meskipun mengakui gementar sebelum perlumbaan bermula, Shayathiri berjaya mengawal emosi dan mengekalkan rentak larian secara konsisten sehingga ke garisan penamat.

“Saya gugup pada awalnya kerana ini pertama kali saya menyertai SUKMA tetapi saya kembali tenangkan diri dan berjaya berikan larian terbaik dan pingat perak buat Selangor.

“Terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih dan rakan-rakan sepasukan kerana mereka sentiasa memberikan motivasi untuk saya berlari lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.

Kejayaan itu turut membuktikan potensi besar atlet muda berkenaan apabila berjaya memperbaiki rekod peribadi dalam penampilan pertamanya di temasya terbesar sukan negara.

Jurulatihnya, Narinder Singh dan Arul Thever menyifatkan pencapaian tersebut sebagai permulaan positif buat Shayathiri, apatah lagi pada usia 16 tahun.

“Pada umur 16 tahun dan dapat memberikan saingan serta memecah rekod peribadi, pastinya kami bangga dengan beliau.

“Perjalanan masih panjang dan kami harap ini akan jadi permulaan buat kariernya yang lebih baik,” katanya.

Selepas menghadiahkan perak dalam acara 10,000m, Shayathiri akan mengalihkan fokus kepada acara 5,000m yang dijadualkan berlangsung esok dengan sasaran untuk meneruskan momentum dan sekali lagi menyumbang pingat buat kontinjen Selangor.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.