
SUBANG, 19 OGOS: Skuad menembak wanita Selangor menyumbang dua pingat perak kepada kontinjen negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di sini, hari ini.
Pingat pertama diraih menerusi Halina Izreen Hasli Izwan dalam acara 25 meter pistol individu wanita selepas tewas tipis 14-16 kepada wakil Terengganu, Wan Nur Anissa Wan Nazri pada aksi penentuan pingat emas di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

Selangor kemudian menambah satu lagi pingat perak menerusi acara 25 meter pistol berpasukan wanita yang dibarisi Halina Izreen, Lim Kyllie dan Soo Sher Qi.
Pahang meraih pingat emas acara berpasukan, manakala Terengganu membawa pulang gangsa.







