
SHAH ALAM, 14 OGOS: Kontinjen Selangor meneruskan momentum positif pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila menambah koleksi pingat menerusi judo, taekwondo dan gimrama, selain mencatat beberapa kemenangan serta kemaraan dalam acara lain hari ini.
Dua pingat emas Selangor disumbangkan Nur Sufia Arisha Mohamed Rasidi dalam acara judo wanita bawah 44 kilogram (kg) dan Nur Aina Qistina Nor Maznizar menerusi taekwondo wanita bawah 46kg.
Tambahan dua emas itu menyaksikan Selangor kini mengumpul empat pingat emas dan tiga perak, menjadikan keseluruhan kutipan tujuh pingat setakat ini.
Skuad gimrama turut menyumbang perak acara berpasukan, manakala wakil Selangor dalam bola sepak wanita, bola tampar pantai dan polo air lelaki mara ke separuh akhir serta kabaddi lelaki membuka kempen dengan kemenangan.

Nur Sufia, Nur Aina hadiahkan emas
Nur Sufia Arisha merangkul emas selepas menewaskan wakil Terengganu, Nur Fasha Zazali dalam pertarungan akhir kategori wanita bawah 44kg di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Beliau merekodkan satu Ippon, satu Waza-ari dan dua Yuko untuk mengatasi lawannya dalam pertarungan yang berlangsung selama 2 minit 58 saat.
Nur Aina pula menghadiahkan emas taekwondo selepas menewaskan wakil Negeri Sembilan, Marieam Adlydelisha Afea Mohamad Adam 2-0 dalam final kategori wanita bawah 46kg di venue sama.

Skuad gimrama Selangor menyumbang perak acara berpasukan menerusi Yoong Bei Ru, Sam Lee Li Momoka, Ker Jia Wei dan Chew Huan Xuan yang mengumpul 214.350 mata.
Catatan itu meletakkan Selangor di tempat kedua di belakang Wilayah Persekutuan yang meraih pingat emas.
Bola sepak wanita mara separuh akhir
Skuad bola sepak wanita Selangor mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A selepas menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Selayang, malam tadi.
Tegen Su-Yin Butler dan Eusvewana Kadius menjaringkan gol buat Selangor yang akan berdepan naib juara Kumpulan B pada separuh akhir di Stadium Selayang, 17 Ogos ini.

Bola tampar pantai pastikan wakil di separuh akhir
Selangor turut memastikan wakil dalam separuh akhir bola tampar pantai lelaki dan wanita selepas pertembungan sesama pasukan negeri pada peringkat suku akhir.
Selangor B lelaki menewaskan Selangor A 21-16, 21-12, manakala Selangor A wanita mengatasi Selangor B 21-10, 21-19 untuk meneruskan cabaran.
Polo air lelaki mara separuh akhir, wanita tewas tipis
Skuad polo air lelaki Selangor muncul juara Kumpulan B dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas membelasah Sabah 54-8 di Pusat Akuatik Selangor, sekali gus dijangka berdepan Negeri Sembilan pada separuh akhir.
Nasib berbeza buat skuad wanita apabila tewas tipis 9-10 kepada Sarawak meskipun cuba bangkit pada suku keempat.

Kabaddi buka kempen dengan kemenangan
Pasukan kabaddi lelaki Selangor memulakan kempen Kumpulan B dengan langkah kanan selepas menewaskan Kedah 41-18 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya.
Skuad negeri akan meneruskan saingan kumpulan menentang Terengganu esok di venue sama.
Selangor gagal meraih pingat dalam acara berbasikal bukit (MTB) di Denai Peladang Agro Park, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh apabila Lim Joe Hwa menduduki tempat ketujuh kategori downhill lelaki dengan catatan 2 minit 9.143 saat.
Seorang lagi wakil negeri, Daniel Tai Zu Hui menamatkan saingan di tempat ke-14 dengan catatan 2 minit 16.070 saat, manakala emas menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Zane Aydeen Mohd Faizal yang mencatat masa 1 minit 58.146 saat.

30,000 dijangka meriahkan perasmian SUKMA
Sementara itu, kira-kira 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Perasmian SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam esok yang diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Bertemakan “Di Sinilah Lahirnya Juara”, majlis itu bakal menampilkan perarakan 15 kontinjen termasuk Brunei, upacara menaikkan bendera dan bacaan ikrar, selain acara menyalakan obor yang dijangka melibatkan seorang atlet yang disifatkan antara paling berjaya dalam sejarah SUKMA Selangor.











