SUKMA 2026: Selangor hargai komitmen semua pihak jayakan temasya - MB

31 Okt 2026, 2:30 AM
SUKMA 2026: Selangor hargai komitmen semua pihak jayakan temasya - MB

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua agensi, jabatan dan pihak terlibat yang berganding bahu menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, komitmen semua pihak sepanjang tempoh persiapan hingga temasya berlangsung mencerminkan semangat kebersamaan Kita Selangor yang menjadi asas kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Sanjungan Budi Sempena SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan Raja Musa Seksyen 7 Shah Alam pada 30 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Hari ini adalah penghargaan kita untuk agensi-agensi dan jabatan yang telah bertungkus-lumus sejak dua tahun yang lepas untuk kita anjurkan SUKMA, sampailah kejohanan tersebut berlangsung.

“Alhamdulillah dengan semangat kerjasama semua pihak, kita dapat melancarkan dan melaksanakan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sanjungan Budi sempena penganjuran SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA 2026 di Dewan Raja Muda Musa, di sini, malam tadi.

Hadir sama EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi; Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA dan Para SUKMA 2026, Dato’ Mohd Yazid Sairi; serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampai Penghargaan kepada Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor Mahadi Mohd Mustafa di Majlis Sanjungan Budi Sempena SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan Raja Musa Seksyen 7 Shah Alam pada 30 Oktober 2026.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut merancang mengadakan majlis khas bagi meraikan kira-kira 10,000 sukarelawan dan atlet yang terlibat dalam temasya berkenaan.

Menurutnya, majlis itu turut merangkumi pemberian insentif kepada atlet cemerlang, dengan tarikh penganjuran masih diteliti berdasarkan kesesuaian jadual dan keadaan cuaca.

“Kita sedang mencari tarikh yang sesuai, melihat kepada keadaan cuaca, untuk meraikan dua kelompok lagi iaitu sukarelawan dan atlet.

“Atlet-atlet itu kita akan beri insentif sekali. Kalau keadaan cuaca semakin baik, kita akan anjurkan mungkin selepas sesi Belanjawan atau pada hari sama Belanjawan pada sesi petang atau malam,” katanya.

Sukarelawan memeriahkan Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam pada 24 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu mempertandingkan 474 acara daripada 37 sukan, dengan penyertaan lebih 13,000 atlet dan pegawai.

Selangor muncul juara keseluruhan dengan kelebihan 50 pingat emas mengatasi Wilayah Persekutuan, sekali gus meraih gelaran itu buat kali ke-10 selepas kejayaan pada edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan 2016.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.