
SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang bakal menyajikan pelbagai acara menarik malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato' Ts Saipolyazan M Yusop berkata pemilihan ruang terbuka memberi pengalaman berbeza apabila orang ramai berpeluang menyaksikan perarakan kontinjen dan berada lebih dekat dengan atlet.
“Kalau dahulu di stadium, kita duduk di tempat penonton dan melihat mereka berarak di trek sebelum berada di tengah.
“Kali ini pengunjung sangat dekat dengan atlet yang akan bertanding. Interaksi itu saya rasa akan memberi pengalaman baharu kepada mereka yang hadir,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Menurut Saipolyazan, pendekatan itu selari dengan hasrat menjadikan atlet sebagai watak utama, manakala rakyat turut menjadi sebahagian daripada kemeriahan pembukaan temasya.

Majlis perasmian bakal menyaksikan perarakan 15 kontinjen termasuk Brunei dengan kira-kira 45 hingga 50 atlet bagi setiap pasukan, selain upacara menaikkan bendera dan bacaan ikrar.
Antara acara yang bakal menjadi tumpuan ialah upacara menyalakan obor yang dijangka melibatkan seorang atlet yang disifatkan antara paling berjaya dalam sejarah SUKMA Selangor.
“Insya-Allah, kalau menjadi kenyataan, nyalaan obor akan dilakukan oleh salah seorang atlet antara paling berjaya dalam sejarah SUKMA Selangor.
“Beliau juga terlibat 28 tahun lalu dan sekarang menjadi jurulatih. Ini menunjukkan kita meraikan mereka yang menjadi juara dan kini melatih juara,” katanya.
Kemeriahan malam pembukaan turut diserikan dengan persembahan lima artis yang mengetengahkan pilihan lagu bersesuaian dengan tema SUKMA 2026 dan pengunjung pelbagai generasi.
Selain acara pentas, pengunjung boleh memeriahkan Fiesta Platform Selangor (PLATS) yang bermula hari ini jam 3 petang di Padang B.
Fiesta berkenaan memberi ruang kepada usahawan PLATS memperkenalkan produk, menjana jualan dan membina jaringan perniagaan dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung.
Orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam ke lokasi perasmian selain mengikuti hebahan berkaitan tempat letak kenderaan serta mematuhi arahan pasukan keselamatan.
Saipolyazan mengajak rakyat Selangor hadir memberi sokongan kepada kontinjen masing-masing dan bersama-sama merasai kemeriahan temasya yang kembali ke Selangor selepas 28 tahun.
“SUKMA tahun ini akan menjadi satu kenangan dan menjadi milik bukan sahaja Selangor tetapi rakyat di seluruh Malaysia.
“Sama-sama kita sokong pasukan masing-masing dan pastikan kemeriahan SUKMA 2026 menjadi kenangan kepada semua,” ujarnya.











