
BANGI, 14 OGOS: Kontinjen Selangor menambah koleksi pingat menerusi skuad gimrama yang meraih perak dalam acara berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Kuartet Yoong Bei Ru, Sam Lee Li Momoka, Ker Jia Wei dan Chew Huan Xuan menampilkan aksi konsisten dalam empat disiplin iaitu bola, gelung, riben dan belantan untuk mengumpul 214.350 mata.
Catatan itu menyaksikan Selangor menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Wilayah Persekutuan yang meraih pingat emas.
Pengurus pasukan Saw Sue Ann berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan berharap mereka dapat melakukan penambahbaikan menjelang saingan individu esok.
“Saya sangat bangga dengan persembahan mereka dan mahu memperkemaskan persembahan bagi acara individu untuk meraih pingat emas.
“Pasukan kami memang menyasarkan satu pingat emas untuk gimrama dan berharap ia dapat dicapai pada aksi individu esok,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, atlet Selangor Sam Lee Li Momoka, 15, gembira dengan kejayaan meraih perak, namun mengakui sedikit kecewa selepas melakukan beberapa kesilapan dalam rutin persembahannya.
Beliau bertekad menebus kesilapan itu dalam saingan individu esok dengan rutin belantan menjadi antara acara kegemarannya.
“Saya gembira tetapi ada sedikit kesilapan dalam persembahan saya hari ini dan mahu melakukan lebih baik pada aksi individu esok,” katanya.
Kejayaan itu menyuntik semangat skuad gimrama Selangor untuk meneruskan misi memburu pingat emas dalam saingan individu, sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen negeri pada SUKMA 2026.







