SUKMA 2026: Kabaddi lelaki Selangor tewaskan Kedah, buru gelaran juara kumpulan

14 Ogos 2026, 7:23 AM
SUKMA 2026: Kabaddi lelaki Selangor tewaskan Kedah, buru gelaran juara kumpulan
SUKMA 2026: Kabaddi lelaki Selangor tewaskan Kedah, buru gelaran juara kumpulan

SUBANG JAYA, 14 OGOS: Pasukan kabaddi lelaki Selangor bermula dengan langkah kanan selepas menewaskan Kedah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, pagi tadi.

Pada aksi pembukaan Kumpulan B itu, Selangor mengatasi Kedah 41-18 dengan aksi bertenaga ditonjolkan kedua-dua pasukan.

Jurulatih pasukan R Akilan berkata beliau berpuas hati atas kejayaan menewaskan lawan yang dianggap sukar dalam perlawanan pertama.

"Memang perlawanan sengit buat kami. Dalam peringkat kumpulan, kami juga ada Terengganu. Berbanding Terengganu, Kedah memberi saingan hebat, namun kami berjaya menewaskan mereka," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menegaskan bahawa fokus seterusnya adalah untuk memperbaiki kelemahan sebelum menentang Terengganu bagi memburu gelaran juara kumpulan sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, kapten pasukan, N Thennarasu berkata beliau bangga dapat memimpin pasukan meraih kemenangan berdepan Kedah dengan jurang mata selesa namun mengakui aksi kedua-dua pasukan seimbang pada awal permainan.

"Pada separuh masa pertama, perlawanan seimbang, kita pun ambil mata, mereka pun ambil mata. Namun, separuh masa kedua, mental pasukan makin tinggi sehingga dapat meraih banyak mata," katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan untuk meraih kemenangan pada perlawanan kedua menentang Terengganu.

"Perlawanan seterusnya menentang Terengganu, saya rasa kami mampu menang dan seterusnya menjadi juara peringkat kumpulan," katanya lagi.

Selangor akan meneruskan aksi Kumpulan B berdepan Terengganu esok di Stadium MBSJ, Serdang Jaya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.