MB gesa PBT bertindak pantas terhadap aduan rakyat di media sosial

8 Ogos 2026, 6:00 AM
MB gesa PBT bertindak pantas terhadap aduan rakyat di media sosial
MB gesa PBT bertindak pantas terhadap aduan rakyat di media sosial

AMPANG JAYA, 8 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan digesa lebih responsif terhadap aduan rakyat di media sosial serta mengambil tindakan segera tanpa perlu menunggu laporan rasmi.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu perlu menjadi sebahagian perubahan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan memandangkan media sosial kini menjadi antara saluran utama masyarakat menyuarakan masalah setempat.

"Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang memberi maklum balas dan tidak menunggu laporan rasmi.

"Sebaliknya, mereka berinteraksi dengan media sosial dan itulah perubahan yang perlu diadaptasi oleh rakan-rakan kita di pihak kerajaan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Kopi Melawati 2.0, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pantas MPAJ membaiki jalan berlubang susulan isu berkenaan yang diketengahkan menerusi media sosial.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata setiap aduan yang tular atau dikemukakan melalui media sosial wajar diperiksa terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, sekiranya maklumat yang disebarkan tidak tepat, agensi berkaitan perlu tampil memberi penjelasan atau pembetulan kepada masyarakat.

"Laporan itu kadang-kadang betul, mungkin kadang-kadang tidak tepat. Tetapi kalau tidak tepat, kena betulkan ataupun kena maklumkan.

"Kalau boleh diambil tindakan, ambil tindakan dengan segera," katanya.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan dokumen RS-2 selepas pembentangan RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini. Foto Khairul Helmy/ MEDIA SELANGOR

Dalam pembentangan Usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam, Amirudin menggesa semua PBT terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan memberi perhatian serius terhadap setiap aduan dan maklum balas yang diterima, sama ada melalui media sosial atau saluran rasmi.

Katanya, PBT perlu lebih proaktif dalam mendepani cabaran pembandaran dan memenuhi keperluan rakyat.

Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentangkan semalam menjadi pelan tindakan utama bagi merealisasikan aspirasi Selangor sebagai Negeri Model ASEAN menjelang 2030.

Dato' Menteri Besar berkata dokumen dasar bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu akan menjadi hala tuju rasmi pembangunan negeri, sekali gus kompas rujukan semua agensi persekutuan.

Menurut Amirudin ia juga bakal menjadi rujukan agensi negeri termasuk jabatan, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik negeri dan pemegang taruh bagi melaksanakan pembangunan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.