
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Selangor akan memanjangkan tempoh pembaharuan lesen perniagaan daripada setahun kepada dua tahun menerusi Dasar Speed Rakyat bagi memudahkan urusan peniaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahbaikan itu meliputi 122 jenis aktiviti perniagaan, termasuk restoran, kedai makanan, kedai runcit, pasar mini, kedai pembaikan kenderaan dan institusi pendidikan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan ditawarkan kepada peniaga yang memenuhi syarat kelayakan lesen ditetapkan PBT.
“Sebagai strategi memantapkan khidmat rakyat, Dasar Speed Rakyat akan menawarkan pembaharuan lesen perniagaan dari satu tahun tempoh sedia ada ke tempoh dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amirudin mengumumkan tempoh kelulusan permit penutupan jalan sementara akan dipendekkan daripada 14 hari kepada hanya tiga hari.
Katanya, penambahbaikan itu melibatkan permohonan penutupan jalan bagi penganjuran aktiviti kemasyarakatan, majlis perkahwinan dan kenduri dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut beliau, urusan berkenaan antara perkara yang sering dibangkitkan rakyat menerusi maklum balas kepada Kerajaan Negeri.
“Melalui Dasar Speed Rakyat, tempoh ini akan dikurangkan kepada hanya 3 hari supaya pihak PBT dapat bertindak secara lebih pantas bagi memenuhi keperluan rakyat dan komuniti tempatan tanpa melibatkan tempoh masa ataupun prosedur yang terlampau rumit,” katanya.
Pelaksanaan dasar berkenaan bertujuan mempercepat penyampaian perkhidmatan PBT, sekali gus mengurangkan masa yang perlu diambil rakyat dan peniaga untuk menyelesaikan urusan berkaitan.







