
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperluas pelaksanaan Dasar Speed Selangor bagi mempercepat urusan kelulusan pembangunan industri dan komersial, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar berteraskan prinsip ‘Ease of Doing Business’ itu sebelum ini berjaya memendekkan tempoh kelulusan permit dan lesen di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada maksimum 24 jam bagi urusan tertentu termasuk pengubahsuaian kediaman.
Katanya, peluasan dasar berkenaan kini menyasarkan permohonan pelan kemajuan yang lengkap dapat dikeluarkan dalam tempoh maksimum sembilan hari daripada tarikh permohonan rasmi diterima Pusat Setempat (OSC) di peringkat PBT.
"Pelaksanaan ini akan diperluas kepada pembangunan industri dan komersial termasuk ladang solar, pusat kediaman pekerja (CLQ) serta pembangunan berkaitan ekonomi kitaran.
"Kerajaan Negeri berharap peluasan ini dapat mempercepat pelaksanaan projek, meningkatkan keyakinan pelabur serta membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan tempatan untuk berkembang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan “Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni” di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata sasaran itu akan disokong menerusi penyelarasan pantas semua agensi berkaitan termasuk Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), penyedia utiliti dan jabatan teknikal bagi memastikan proses kelulusan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
"Langkah ini diharap dapat menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi serta memberikan manfaat ekonomi lebih besar kepada rakyat Selangor," katanya.







