Pembangunan prasarana terima peruntukan tertinggi RM503.1 juta

13 Nov 2026, 9:37 AM
Pembangunan prasarana terima peruntukan tertinggi RM503.1 juta

SHAH ALAM, 13 NOV: Pembangunan prasarana menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM503.1 juta menerusi Belanjawan Selangor 2027, iaitu bersamaan 35.94 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri selain membina asas bagi memastikan daya tahan ekonomi Selangor dalam jangka panjang.

“Berdasarkan anggaran perbelanjaan pembangunan bagi 2027, pembangunan prasarana menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM503.1 juta, bersamaan 35.94 peratus daripada keseluruhan belanja pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri tidak sekadar berbelanja untuk jangka pendek, sebaliknya membina asas bagi memastikan daya tahan ekonomi negeri kekal kukuh dan lestari pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudun berkata, setiap pembangunan perlu mengambil kira perubahan iklim yang berlaku lebih pantas daripada perancangan disediakan dan tidak lagi menggunakan pendekatan seperti biasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua agensi di bawah Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mematuhi setiap saranan yang digariskan menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi memastikan pelaksanaan pembangunan mengambil kira keperluan serta cabaran semasa.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM130 juta bagi melaksanakan Projek Pembangunan Infrastruktur menerusi Belanjawan Selangor 2026, meningkat hampir RM34.02 juta berbanding RM95.98 juta yang diperuntukkan dalam belanjawan sebelumnya.

Peruntukan itu merangkumi kerja menaik taraf jalan raya dan jaringan perparitan, pemasangan lampu jalan serta lampu isyarat selain penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya secara menyeluruh.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.