Selangor teruskan insentif pengurangan cukai kediaman hijau

13 Nov 2026, 10:01 AM
Selangor teruskan insentif pengurangan cukai kediaman hijau

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Insentif Kediaman Mesra Alam Sekitar di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2027 bagi menggalakkan amalan hijau dalam kalangan pemilik kediaman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan insentif yang diperkenalkan pada 2026 itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM5.5 juta yang ditanggung oleh PBT masing-masing melalui pengurangan cukai taksiran kepada pemilik kediaman yang layak.

Menurutnya, insentif berkenaan bertujuan menggalakkan penjimatan tenaga dan air, penggunaan pengangkutan hijau serta pengurangan sisa dan amalan kitar semula.

"Antara amalan yang digalakkan termasuk pemasangan panel solar, penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, sistem penuaian air hujan, pemilikan kenderaan elektrik (EV), penghantaran bahan kitar semula serta penggunaan mesin kompos domestik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, menerusi pendekatan itu, usaha rakyat memelihara alam sekitar turut diberikan penghargaan dalam bentuk penjimatan cukai taksiran.

"Kerajaan Negeri juga berhasrat menjadikan amalan mengelakkan pembaziran, menggunakan sumber secara berhemah dan mengitar semula sebagai sebahagian daripada kehidupan harian rakyat, bermula dari rumah," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Garis Panduan Pengurangan Cukai Taksiran bagi Permohonan Insentif Kediaman Mesra Alam Sekitar menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang mula dilaksanakan pada 1 Julai lalu.

Inisiatif itu membolehkan kediaman menikmati rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus bagi pemasangan bumbung panel solar selain penggunaan teknologi hijau termasuk sistem penuaian air hujan, pengkomposan sisa makanan dan pemasangan unit pengecasan EV.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.