SHAH ALAM, 8 OGOS: Semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disasarkan mencapai skor Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) sekurang-kurangnya 95 peratus menjelang 2030 bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berkualiti kepada rakyat.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu digariskan menerusi Misi Keenam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menjadi asas kepada pembentukan pentadbiran negeri yang efektif, responsif terhadap rakyat dan mesra perniagaan.
Menurutnya, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan merupakan asas penting dalam membina Selangor yang maju dan makmur, selain menarik keyakinan pelabur serta memperkukuh ekonomi negeri.
"Pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah adalah kunci untuk menarik keyakinan pelabur, membina ekonomi yang mampan serta memelihara perpaduan rakyat," katanya ketika membentangkan Usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.
Dalam usaha mempercepat transformasi digital, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut menyasarkan tahap Perkongsian Perkhidmatan Kerajaan Digital End-to-End sebanyak 85 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata langkah itu akan memperkukuh perkongsian data digital antara agensi kerajaan sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam berteraskan prinsip tadbir urus yang baik.
Pada masa sama, beliau menggesa semua PBT terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan memberi perhatian serius terhadap setiap aduan dan maklum balas yang diterima, sama ada melalui media sosial atau saluran rasmi.
"PBT perlu lebih proaktif dalam mendepani cabaran pembandaran dan memenuhi keperluan rakyat. Saya menyeru semua PBT di Selangor menyahut agenda ini demi membina negeri yang mampan, inklusif, maju dan sejahtera untuk semua," katanya.







