SHAH ALAM, 31 JULAI: Rapid KL melanjutkan tempoh perkhidmatan percuma Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sehingga 14 Ogos ini.
Rapid KL memaklumkan lanjutan itu memberi peluang kepada lebih ramai pengguna menikmati kemudahan tersebut serta membiasakan diri dengan sistem pengangkutan baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
Sepanjang tempoh berkenaan, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam secara percuma termasuk bas perantara dan kemudahan Park N' Ride yang disediakan di stesen-stesen terlibat.
"Inisiatif berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai penduduk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama bagi perjalanan harian.
"Ia turut dijangka membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan keselesaan sistem pengangkutan awam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rapid KL menyarankan orang ramai merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi semua peraturan dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar.
Menurut syarikat itu, ribuan pengguna telah menikmati pengalaman perjalanan yang lebih mudah, pantas dan selesa sepanjang tempoh perkhidmatan percuma itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan percuma LRT3 Laluan Shah Alam selama sebulan yang dijadual berakhir esok.
Pada 26 Julai lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menaiki LRT3 Laluan Shah Alam bagi meninjau perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun.
Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda menaiki tren dari Stesen Bandaraya menuju Stesen Johan Setia sejauh 37.8 kilometer yang merangkumi 20 stesen, termasuk laluan bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer.
Menerusi lawatan itu, Baginda menzahirkan harapan agar lima stesen LRT3 yang masih belum siap dapat disiapkan bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan awam tersebut.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, lima stesen berkenaan ialah Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar, khususnya masyarakat Melayu di kawasan berhampiran.
Baginda turut bertitah keseluruhan laluan LRT3 wajar disiapkan mengikut perancangan asal memandangkan perkhidmatan itu merupakan kemudahan pengangkutan awam penting demi keselesaan rakyat.









