LRT3: Sultan teruja nantikan lima lagi stesen siap, lengkapi Laluan Shah Alam

13 Jul 2026, 6:30 AM
LRT3: Sultan teruja nantikan lima lagi stesen siap, lengkapi Laluan Shah Alam
LRT3: Sultan teruja nantikan lima lagi stesen siap, lengkapi Laluan Shah Alam
LRT3: Sultan teruja nantikan lima lagi stesen siap, lengkapi Laluan Shah Alam

KLANG, 13 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa teruja untuk menyaksikan lima lagi stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam disiapkan bagi melengkapkan kemudahan pengangkutan awam berkenaan.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, lima stesen yang masih tertangguh pembinaannya iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar, khususnya majoriti masyarakat Melayu di kawasan berhampiran.

Titah Baginda, adalah lebih baik sekiranya keseluruhan laluan LRT3 dapat disiapkan mengikut perancangan asal kerana perkhidmatan tren berkenaan merupakan kemudahan pengangkutan awam penting untuk keselesaan rakyat.

“Baginda menzahirkan kesyukuran apabila projek infrastruktur ini akhirnya menjadi kenyataan sekali gus meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

“Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan alhamdulillah akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan. Baginda percaya ada hikmah atas kelewatan ini,” menurut kenyataan itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau operasi perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu. Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Selangor Royal Office

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menghargai sumbangan dan pengorbanan lebih 13,000 individu yang terlibat dalam pembinaan laluan berkenaan menerusi kepakaran serta komitmen masing-masing.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh pembinaan lebih 10 tahun, purata 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.

“Baginda berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas peranan setiap pekerja dalam mengubah perancangan bertahun-tahun menjadi sebuah sistem pengangkutan moden harian.

“Titah Baginda, walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang mengabdikan tenaga dan kepakaran sepanjang pembinaannya,” katanya.

Sultan Selangor turut berharap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam selain meminimumkan sebarang gangguan terhadap pengguna.

“Baginda juga berpesan kepada rakyat jelata supaya memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini yang menjadi pemangkin budaya penggunaan pengangkutan awam lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti moden, lestari dan berkualiti,” menurut kenyataan itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau operasi perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu. Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Selangor Royal Office

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menaiki LRT3 Laluan Shah Alam bagi meninjau perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu.

Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Keberangkatan Baginda disambut pengurusan Prasarana sebelum memulakan perjalanan dari Stesen LRT Bandar Utama pada 10.40 pagi.

Baginda mengambil kedudukan di bahagian hadapan koc untuk meninjau keadaan sepanjang perjalanan sejauh 37.8 kilometer menuju Stesen Johan Setia yang merangkumi 20 stesen perhentian termasuk laluan bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.