SHAH ALAM: Kerja penambahbaikan laluan pejalan kaki sekitar Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Bandar Baru Klang dijangka bermula Oktober ini.
EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata langkah itu susulan beberapa isu keselamatan dan aksesibiliti yang dikenal pasti menerusi sesi 'walking audit' di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan kerja pembaikan segera serta penambahbaikan tambahan disasarkan siap pada November.
"Antara perkara yang dikenal pasti ialah keperluan menyediakan laluan mesra orang kurang upaya (OKU) ke susur KPJ, memperluas laluan pejalan kaki yang sempit serta mengalihkan kotak utiliti yang menghalang pergerakan pengguna.
"Selain itu, permukaan laluan pejalan kaki yang tidak rata turut memerlukan pembaikan, manakala tempoh lampu isyarat akan dinilai semula bagi memberi masa lebih sesuai kepada OKU dan warga emas untuk melintas," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sze Han berkata beliau turun meninjau sendiri kawasan berkenaan bersama MBDK, Prasarana, kontraktor, perunding serta pengguna pengangkutan awam susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.
“Kalau selepas turun dari LRT, orang masih perlu berhimpit, mengelak halangan, melalui laluan yang rosak atau mengambil risiko melintas, maka perjalanan itu masih belum benar-benar mesra rakyat,” katanya.
Beliau berkata pejabatnya turut membangkitkan cadangan membuka satu laluan di tembok berhampiran pangsapuri berikutan terdapat penduduk yang memanjat tembok berkenaan untuk melintas jalan.
Bagaimanapun, katanya, MBDK memaklumkan pembukaan laluan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mematuhi piawaian 'Road Safety Audit', selain terdapat utiliti dan sistem pengairan di dalam struktur tembok berkenaan.
“Kalau laluan rasmi tidak boleh diwujudkan, kita perlu cari jalan lain untuk menghalang penduduk daripada mengambil jalan yang berisiko.
“Saya telah mencadangkan supaya penghadang dipasang di lokasi berkenaan agar tembok tersebut tidak terus dipanjat sebagai jalan pintas,” katanya.
Sze Han berkata aspek keselamatan pejalan kaki perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam turut disokong jaringan akses yang selamat dan selesa.








