SHAH ALAM, 2 SEPT: Aspek keselamatan, ketepatan masa dan kebolehpercayaan antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat beralih kepada pengangkutan awam.
Pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Malaysia berkata penambahbaikan jaringan dan kemudahan perlu seiring peningkatan mutu perkhidmatan bagi membina keyakinan pengguna.
“Persekitaran yang selamat perlu diwujudkan supaya penumpang berasa yakin untuk berjalan kaki dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ke rumah atau destinasi masing-masing, khususnya pada waktu malam.
“Keadaan ini akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam,” kata Dr Gobi Krishna dalam temu bual bersama Media Selangor, baru-baru ini.
Beliau berkata penerapan konsep bandar pintar juga boleh dimanfaatkan bagi keselamatan pengguna, antaranya menambah kamera litar tertutup (CCTV) di stesen dan laluan pejalan kaki.
Selain itu, katanya, pencahayaan mencukupi terutama di laluan pejalan kaki pada waktu malam perlu disediakan supaya pengguna berasa lebih selamat ketika menuju ke destinasi masing-masing.
Dalam pada itu, Dr Gobi berkata keyakinan masyarakat turut bergantung kepada kemampuan perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi secara konsisten dan menepati jadual.
“Kesesakan jalan raya, kelewatan bas berbanding waktu yang ditetapkan serta kelewatan perkhidmatan kereta api akibat masalah teknikal, khususnya pada waktu puncak, boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penumpang.
“Masalah tersebut perlu ditangani bagi memastikan perjalanan penumpang berlangsung dengan lancar dan tanpa gangguan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpandangan Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan langkah lebih tegas bagi menggalakkan masyarakat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
Beliau mengambil contoh Singapura yang bukan sahaja menyediakan rangkaian pengangkutan awam meluas, malah melaksanakan sistem bayaran kepada pengguna kenderaan persendirian apabila memasuki jalan atau kawasan bandar tertentu.
“Ketika sistem bayaran ini diperkenalkan di Singapura pada peringkat awal, masyarakat sememangnya membantahnya. Namun, langkah tersebut bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik, malah masyarakat akhirnya dapat menerimanya dari semasa ke semasa,” kata Dr Gobi.
Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Kedua menyasarkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam daripada 40 peratus ketika ini kepada 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perkhidmatan MRT ketika ini menghubungkan beberapa kawasan di Selangor dengan lokasi lain di Lembah Klang, manakala pengoperasian LRT3 menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan.
Kemudahan pertukaran yang mengintegrasikan perkhidmatan MRT dan LRT turut tersedia di beberapa lokasi termasuk Bandar Utama, Glenmarie dan Sungai Besi.










