SHAH ALAM, 21 JULAI: Rapid KL mengesahkan gangguan sementara perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pagi tadi berpunca daripada tindakan seorang lelaki menceroboh kawasan landasan di Stesen Jalan Meru sebelum berjaya ditahan.
Rapid KL memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi sebelum petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan bertindak pantas mengesan dan menahan suspek.
"Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.
"Rapid KL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rapid KL, bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa terpelihara, tren dihentikan sementara antara Stesen Jalan Meru dan Stesen Jambatan Kota selama 30 minit.
"Langkah itu diambil bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan serta memastikan keadaan landasan selamat sebelum perkhidmatan beroperasi semula," katanya.
Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang akibat gangguan sementara berkenaan.
"Keselamatan penumpang dan operasi sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihatkan orang ramai supaya tidak menceroboh kawasan landasan kerana tindakan berkenaan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan yang serius.
Orang ramai, khususnya penumpang, turut disaran sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan.







