Pakar kemuka lima strategi tingkat mobiliti di Selangor

18 Okt 2026, 8:00 AM
Pakar kemuka lima strategi tingkat mobiliti di Selangor
Pakar kemuka lima strategi tingkat mobiliti di Selangor

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Selangor perlu mengutamakan lima strategi, termasuk mengintegrasikan infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih baik, bagi menggalakkan orang ramai beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian.

Pengarah Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (ITDP) Asia Tenggara, Gonggomtua Eskanto Sitanggang berkata, kenderaan persendirian masih menyumbang kira-kira 83 peratus daripada perjalanan di Lembah Klang Raya (GKV).

Beliau berkata, Selangor sudah mempunyai rangkaian pengangkutan pelbagai mod, namun kelemahan sambungan perjalanan awal dan akhir, pertukaran antara mod pengangkutan serta tempoh menunggu yang panjang terus menjejaskan keberkesanannya.

Katanya, empat lagi keutamaan ialah pengurusan permintaan pengangkutan, penambahbaikan sambungan perjalanan awal dan akhir, pengukuhan pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta penambahbaikan tadbir urus pengangkutan.

“Ini bukan sekadar menambah lebih banyak kenderaan atau perkhidmatan, sebaliknya semuanya perlu diintegrasikan dengan rangkaian utama pengangkutan awam melalui penyepaduan fizikal dan sistem maklumat.

“Kita juga perlu memikirkan aspek penjadualan. Sebagai contoh, apabila menaiki bas ke stesen, penumpang sepatutnya dapat menaiki MRT dalam tempoh lima minit.

“Paling penting ialah penyepaduan institusi kerana pengangkutan tidak mengenal sempadan pentadbiran. Orang ramai sepatutnya dapat bergerak merentasi sempadan ini,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Simposium Mobiliti Selangor, bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) edisi ke-10 bermula hari ini sehingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Gonggomtua berkata, projek perumahan atau komersial berhampiran stesen kereta api tidak semestinya memenuhi ciri TOD sekiranya tidak menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat dan perkhidmatan pengangkutan pengantara.

“TOD tidak sama dengan pembangunan bersebelahan transit kerana perkara yang sering kita lihat di Indonesia ialah pemaju membina kompleks pangsapuri atau perumahan tetapi mengabaikan sambungan perjalanan awal dan akhir.

“Mereka hanya membina jalan raya tetapi tidak menyediakan laluan pejalan kaki. TOD yang ideal memerlukan akses yang baik, sambungan yang lancar dan integrasi dengan rangkaian pengangkutan di sekitarnya.”

Beliau turut menggesa supaya lebih banyak lintasan pejalan kaki di aras jalan yang mudah diakses disediakan berbanding jejantas bertangga, yang boleh memanjangkan perjalanan dan menyukarkan akses ke stesen, khususnya bagi individu yang mempunyai masalah mobiliti.

Bagi mengatasi kekangan pengangkutan di negeri ini, beliau mencadangkan Selangor mempertimbangkan langkah seperti pengurusan tempat letak kereta dan pengagihan semula ruang jalan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Katanya, dasar pengangkutan juga perlu dikaji secara berkala bagi menentukan keberkesanannya dalam mengubah corak perjalanan orang ramai.

Beliau berkata, kawasan bandar dan kawasan berpenduduk kurang padat di Selangor memerlukan kemudahan berbeza mengikut keperluan setempat.

Menurutnya, kawasan bandar perlu mengutamakan akses pejalan kaki dan penunggang basikal, pembangunan bercampur serta pengurusan tempat letak kereta, manakala kawasan berpenduduk kurang padat memerlukan perkhidmatan pengangkutan pengantara yang lebih baik, pengangkutan responsif permintaan dan akses pejalan kaki yang selamat ke hab pengangkutan tempatan.

Gonggomtua menambah, penyelarasan lebih erat antara pihak berkuasa pengangkutan juga penting kerana penumpang sering bergerak merentasi sempadan pentadbiran dan lebih mementingkan keupayaan untuk sampai ke destinasi berbanding agensi yang mengendalikan sesuatu perkhidmatan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.