Sultan Selangor tinjau operasi LRT3 laluan Shah Alam

13 Jul 2026, 5:00 AM
Sultan Selangor tinjau operasi LRT3 laluan Shah Alam
Sultan Selangor tinjau operasi LRT3 laluan Shah Alam

SHAH ALAM, 13 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu.

Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Keberangkatan Baginda disambut pengurusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum memulakan perjalanan dari Stesen LRT Bandar Utama pada 10.40 pagi.

Baginda yang mengambil kedudukan di bahagian hadapan koc meninjau keadaan sepanjang perjalanan sejauh 37.8 kilometer menuju ke Stesen Johan Setia, merangkumi 20 stesen perhentian termasuk laluan bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer.

Perjalanan kira-kira satu jam itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Dr. Prodyut Dutt dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), Dato’ Imran Salim.

Awal bulan ini, Sultan Sharafuddin berharap operasi LRT 3 berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain kemudahan itu memberi pilihan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat khususnya buat warga Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Baginda juga mahu Prasarana dapat menyelenggara semua laluan LRT3 tersebut dengan baik supaya ia dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.

Baginda berharap kemudahan itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan laluan itu turut disokong 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.