SHAH ALAM, 7 JULAI: Lintasan belang (zebra crossing) akan dibina di Seksyen 8, Kota Damansara dalam tempoh sebulan bagi meningkatkan keselamatan pejalan kaki yang menyeberang Jalan Sungai Buloh ke Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kwasa Damansara.
Kemudahan sementara itu akan disediakan susulan aduan mengenai laluan siar kaki yang terputus di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata, langkah itu merupakan penyelesaian interim sementara menunggu pelaksanaan projek pelebaran Jalan Sungai Buloh yang turut merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki baharu.
"Ramai penduduk di Seksyen 8 berjalan kaki ke MRT Kwasa untuk menggunakan pengangkutan awam. Masalah utama ialah laluan pejalan kaki di kawasan itu terputus sebelum sampai ke stesen.
"Bagi penyelesaian jangka pendek, kita akan bina lintasan belang supaya orang ramai dapat melintas dengan lebih selamat.
"Saya sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan arahan kerja kepada kontraktor dan insya-Allah ia dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Izuan, pembinaan laluan pejalan kaki secara kekal tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana kawasan berkenaan akan terlibat dengan projek pelebaran Jalan Sungai Buloh.
"Kalau kita bina laluan pejalan kaki sekarang, ia akan dipecahkan semula apabila kerja pelebaran jalan bermula. Itu hanya menyebabkan pembaziran.
"Jadi kita ambil langkah sementara dengan menyediakan lintasan belang terlebih dahulu. Apabila projek pelebaran jalan dilaksanakan nanti, laluan pejalan kaki dan kemudahan lain akan dibina sekali gus," jelasnya.
Beliau berkata isu berkenaan telah lama tertangguh berikutan proses pengosongan tapak nurseri di tanah milik kerajaan yang perlu diselesaikan sebelum projek pelebaran Jalan Sungai Buloh dapat dimulakan.
"Sepatutnya projek pelebaran jalan dan kerja-kerja pemindahan utiliti sudah dilaksanakan kira-kira lima tahun lalu, namun ia tertangguh," ujarnya.
Izuan berkata Kerajaan Negeri menetapkan penghujung Ogos sebagai tarikh akhir pengosongan kawasan berkenaan, namun tindakan mahkamah yang difailkan sebahagian pengusaha nurseri berhubung isu penempatan semula menyebabkan pelaksanaan projek menjadi lebih rumit.
"Insya-Allah, sekiranya tiada halangan di peringkat mahkamah, projek pelebaran Jalan Sungai Buloh dapat dimulakan menjelang hujung tahun ini," katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada 38 pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh sebelum projek pelebaran jalan di Kwasa Damansara dimulakan.









