Tiada tempoh lanjutan pengusaha nurseri Jalan Sungai Buloh

26 Apr 2026, 9:18 AM
Tiada tempoh lanjutan pengusaha nurseri Jalan Sungai Buloh
Tiada tempoh lanjutan pengusaha nurseri Jalan Sungai Buloh
Tiada tempoh lanjutan pengusaha nurseri Jalan Sungai Buloh

AMPANG JAYA, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian hanya memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan tapak sebelum projek pelebaran jalan bertingkat di KWASA Damansara bermula September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa tiada halangan untuk mana-mana pihak meneruskan kes di mahkamah, namun proses pembangunan dan pelaksanaan projek perlu berjalan demi manfaat jutaan rakyat khususnya Selangor.

“Mereka bawa ke mahkamah untuk menghalang perintah itu. Kita hormatilah itu hak dan pilihan mereka. Kita dah kemukakan, bukan semua pun (tidak setuju) sebab sebahagian telah mengambil tawaran yang telah kita kemukakan.

“Kita berpendapat mereka menceroboh tanah tersebut maka kita tawarkan beberapa pilihan untuk berpindah. Ia bukan perbincangan selama setahun, tetapi sudah beberapa tahun kami berbincang dengan mereka.

“Namun kita tiada pilihan kerana jika tidak, beberapa projek akan terhenti. Saya telah merancang demi manfaat jutaan rakyat di Malaysia, khususnya di Selangor. Kita akan teruskan tindakan seperti dirancang bagi memastikan projek dapat diteruskan.

“Jika tidak, jutaan rakyat akan terjejas kerana (ia libatkan) projek lebuh raya dan pembangunan tertentu. Ia telah dirancang oleh pihak pemaju dan juga kerajaan,” katanya ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan insentif Haji Muassasah 2026 di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini, hari ini.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan tapak sebelum projek pelebaran jalan bertingkat di KWASA Damansara bermula September ini.

Menurut Izham tempoh lanjutan diberikan selepas mengambil kira rayuan pengusaha walaupun proses pengosongan telah bermula sejak 2019 dan semua prosedur berkaitan telah dilaksanakan termasuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak 2021 serta beberapa siri notis rasmi kepada pengusaha.

Menurutnya, 38 pengusaha melibatkan 66 lot terlibat dalam pengosongan tersebut, dengan sebahagian pengusaha memiliki lebih daripada satu lot.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bayaran ex gratia RM10,000 bagi setiap lot dengan jumlah keseluruhan RM660,000, namun masih terdapat 14 lot belum dituntut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.