PUCHONG, 24 OKT: Kerajaan Selangor bercadang melaksanakan audit berterusan bagi mengenal pasti laluan pejalan kaki ke stesen pengangkutan awam yang bermasalah dan memerlukan pembaikan segera.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, audit itu akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan dengan tumpuan kepada laluan sekitar stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).
Menurutnya, langkah itu susulan isu kesalinghubungan yang dibangkitkan pengguna pada Simposium Mobiliti Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), minggu lalu.
“Audit ini akan dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya dilaksanakan sekali sahaja. Ia bagi memastikan masalah di lapangan dapat dikenal pasti, selain kemudahan sedia ada terus ditambah baik mengikut keperluan pengguna.
“Kita mahu pastikan kawasan berhampiran stesen mempunyai laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan baucar Jom Shopping Perayaan Deepavali Dewan Undangan Negeri Kinrara di sini, pagi tadi.
Sze Han berkata, audit itu turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengendali pengangkutan awam bagi memastikan kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani segera.
Katanya, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada laluan sekitar stesen pengangkutan awam, malah kawasan sekolah, khususnya laluan yang digunakan pelajar setiap hari.
“Hasil audit akan dikongsi dengan agensi berkaitan supaya isu yang dikenal pasti mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya, khususnya bagi laluan yang memerlukan pembaikan segera,” katanya.
Pada Jun lalu, Sze Han mengarahkan semua PBT di Selangor mengutamakan pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan sekitar dengan stesen pengangkutan awam.
Langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, selain mengatasi masalah laluan pejalan kaki yang tidak bersambung sehingga menyukarkan orang ramai mengakses pengangkutan awam.







