KUALA LANGAT, 14 MAC: Kerajaan Negeri bersedia membantu kira-kira 30 pengusaha nurseri di Sungai Buloh berpindah susulan projek pelebaran jalan yang bakal dimulakan dalam masa terdekat.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata bantuan tersebut tertakluk kepada kemampuan Kerajaan Negeri, terutama berkaitan penempatan semula tapak nurseri di kawasan baharu.
“Projek itu perlu disegerakan kerana jalan itu perlu diperbesarkan. Kita sudah tangguh banyak kali. Sudah sampai masanya kita ambil tindakan. Di situ ada juga pengusaha nurseri yang sudah berpindah secara baik.
“Kita boleh bincang untuk cari tempat. Saya sudah meneliti beberapa tempat baharu, tetapi tiada yang sesuai. Kalau boleh kita mahu teruskan tapak nurseri ini untuk tarikan pelancongan.
“Setakat ini tiada tempat yang sesuai. Jadi kita minta mereka juga cari lokasi baharu sendiri, dan kita akan bantu. Tetapi tidak boleh tempatkan semua pengusaha dalam satu tempat, agak sukar,” katanya kepada Media Selangor.
Izham menambah, cadangan penempatan semula nurseri ke Bukit Changgang, Banting sebelum ini dibatalkan berikutan struktur tanah yang tidak sesuai dan lokasi berkenaan kerap dilanda banjir.
Malah, katanya, Kerajaan Negeri tidak dapat mempertimbangkan lagi tambahan masa kerana projek pelebaran jalan tertangguh sejak tahun lalu, selain pengusaha juga sudah menerima ex-gratia berjumlah RM10,000.
“Kita tidak dapat pertimbangkan lagi tambahan masa kerana sudah berlarutan lama. Projek ini perlu dimulakan, sepatutnya sudah dimulakan lama. Kita akan ambil langkah penguatkuasaan selepas Aidilfitri,” katanya.
Februari lalu, Izham dilapor berkata, sebanyak 66 tapak nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran dan pembinaan jalan bertingkat yang menjadi sebahagian daripada pembangunan strategik di Kwasa Damansara.
Jelasnya, projek infrastruktur itu penting bagi melancarkan aliran trafik, meningkatkan kesalinghubungan kawasan dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan berperingkat di koridor Sungai Buloh-Damansara.
Izham berkata, kawasan terlibat diduduki tanpa dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi, justeru bayaran ex-gratia adalah bersifat saguhati bagi membantu peralihan dan bukan pengiktirafan hak milik atau pendudukan kekal.
Khamis lalu, akhbar tempatan melaporkan kira-kira 30 pengusaha nurseri terbabit mahu bertemu dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi memohon tapak gantian di lokasi baharu.








