Selangor kosongkan tapak nurseri Jalan Sungai Buloh, bayar RM10,000 setiap plot

13 Feb 2026, 5:22 AM
Selangor kosongkan tapak nurseri Jalan Sungai Buloh, bayar RM10,000 setiap plot

SHAH ALAM, 13 FEB: Kerajaan Negeri akan mengosongkan tapak nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada projek pembesaran dan pembinaan jalan bertingkat di bawah pembangunan strategik Kwasa Damansara.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata sebanyak 66 plot nurseri yang terjejas akan menerima bayaran ex-gratia RM10,000 bagi setiap plot sebagai langkah memudah cara proses pengosongan tapak.

Menurutnya, bayaran secara sekali beri (one-off) itu diputuskan sebagai pendekatan mesra rakyat memandangkan kawasan terlibat merupakan Tanah Kerajaan yang diduduki tanpa dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi.

"Pelaksanaan projek berkenaan sebelum ini tertangguh berikutan isu pendudukan tapak yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Justeru, pembayaran ex-gratia ini adalah bersifat saguhati, bertujuan membantu peralihan dan bukan suatu pengiktirafan hak milik atau pendudukan kekal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah beliau berkata, tiada sebarang komitmen tambahan melibatkan tapak gantian atau pampasan lain di luar bayaran ex-gratia yang dipertimbangkan itu.

"Pelaksanaan pembayaran akan diselaraskan oleh agensi pelaksana yang dilantik dan selepas bayaran dibuat serta tempoh yang ditetapkan tamat, proses pengosongan tapak akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Tegasnya, Kerajaan Negeri kekal komited menyelesaikan isu berpanjangan secara bertanggungjawab dan prihatin, selain memastikan projek infrastruktur awam dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, projek pembesaran dan pembinaan jalan bertingkat itu penting bagi melancarkan aliran trafik, meningkatkan kesalinghubungan kawasan serta menyokong pertumbuhan ekonomi di koridor Sungai Buloh–Damansara.

"Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kepentingan awam dan keperluan mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur negeri yang telah berpanjangan," katanya.