SHAH ALAM, 6 OKT: Rangkaian laluan pejalan kaki selamat di Petaling Jaya masih belum mencukupi untuk menghubungkan stesen pengangkutan awam dengan kawasan perumahan dan pusat komersial, namun penambahbaikan terus dilaksanakan secara berperingkat.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Loh Y Lun berkata isu paling kritikal ialah ketiadaan infrastruktur ketersambungan awal dan akhir yang komprehensif meskipun Petaling Jaya mempunyai 22 stesen transit awam meliputi LRT, MRT dan KTM.
“Petaling Jaya menempatkan 22 stesen transit awam (LRT, MRT dan KTM), namun rangkaian laluan pejalan kaki selamat yang menghubungkan penduduk dari stesen ke kawasan perumahan atau pusat komersial masih belum mencukupi.
“Bagi menyelesaikan masalah ini, Ahli Majlis dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar MBPJ sedang merangka Pelan Induk Pengangkutan Petaling Jaya bagi penyelesaian yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Media Selangor.

Loh berkata pemantauan kemudahan dan akses pejalan kaki dilaksanakan secara proaktif, termasuk menerusi pemantauan sendiri dengan menggunakan laluan berbeza ketika berulang-alik ke tempat kerja bagi melihat keadaan di zon SS2.
“Di peringkat MBPJ, pegawai jabatan kejuruteraan menerusi unit jalan turut meronda dan mengenal pasti kerosakan jalan, manakala lawatan tapak bersama pengadu serta pemimpin tempatan diadakan apabila menerima aduan penduduk.
“Selain itu, saya memulakan inisiatif rondaan secara berkala bersama rukun tetangga dan persatuan penduduk. Sejak tahun lepas, lebih daripada 10 sesi rondaan telah diadakan melibatkan jarak rondaan melebihi 20 kilometer,” katanya.
Jelas beliau, isu akses dan ketersambungan pejalan kaki turut menjadi antara perkara yang kerap dibangkitkan penduduk dan netizen, khususnya menerusi platform media sosial seperti Threads.
Beliau berkata sebahagian besar kelemahan infrastruktur itu sudah berada dalam pemantauan menerusi siri libat urus berterusan bersama pelbagai pemegang taruh.
“Tahap penyelesaiannya bergantung kepada skalanya. Ada kerosakan yang telah diselesaikan, ada yang sudah mempunyai pelan penyelesaian yang diluluskan dan bagi projek yang memerlukan bajet besar, ia akan dijalankan di bawah perancangan jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata isu tersebut turut diangkat dan dipantau menerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Jawatankuasa Perancang serta Jawatankuasa Kecil Penyelenggaraan Jalan sehingga tindakan selesai.
“Sekiranya sesuatu isu itu kompleks, pasukan petugas boleh ditubuhkan untuk turun padang dan meneliti masalah tersebut secara terperinci.
“Antara keutamaan yang masih perlu diperbanyakkan ialah penyediaan lintasan pejalan kaki di persimpangan sibuk serta menaik taraf garisan zebra sedia ada kepada lintasan tinggi (raised crossing),”katanya.








