SHAH ALAM, 26 FEB: Keadaan api neraka yang jauh lebih panas daripada segala api di dunia seperti digambarkan dalam ayat kelapan Surah al-Mulk menjadi peringatan tegas agar manusia meninggalkan sifat sombong dan takbur.
Timbalan Mufti Pahang Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata menerusi ayat tersebut membuktikan manusia perlu sedar bahawa tiada siapa yang mampu menanggung azab seberat itu.
“Neraka ini kata ulama tafsir, azabnya yang paling tidak boleh tahan adalah kepanasannya yang mana (segala) api di dunia kita ini sekarang, hanyalah satu daripada 70 bahagian kepanasan api neraka.
“Sebab itu berdoalah supaya Allah pelihara kita dan seluruh zuriat keturunan kita daripada azab api neraka kerana api neraka bukanlah benda yang kita boleh tahan macam api biasa-biasa. Kepanasannya itu sehingga ada ahli neraka seperti disebut dalam al-Quran meminta Allah mematikan mereka.
“Yang penting jangan sombong. Itu saja. Tunduk kepada Allah barulah selamat dari azab api neraka,” katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.
Terdahulu, ayat kelapan Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.
Sebagai penutup kupasan, Amirudin berkata ayat itu mengingatkannya kepada insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya tahun lalu, yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
“Kita di Selangor menguruskan Putra Heights. Maksimumnya 1,000 darjah celsius dan bomba terangkan kepada kita 500 darjah celsius sebenarnya ia sudah mampu mencairkan beberapa barang seperti plastik dan sebagainya.
“Ada kes individu itu badannya melecur kerana bajunya ada fabrik getah dan melekat di badannya. Ayat ini memberi nilai gandaan yang lebih besar terhadap siksaan di hari kiamat (api neraka) kepada mereka yang ingkar dan ayat penting yang disebutkan adalah tentang mereka yang sombong, ego, riak, takbur,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar setiap individu, termasuk dirinya sendiri menjauhi sifat sombong, ego, riak dan takbur kerana manusia hanyalah hamba Allah dan tidak wajar merasakan diri lebih mulia daripada orang lain kerana amal baik itulah yang akan menentukan nilai seseorang di sisi-Nya.
Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan
Episod 2: Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam
Episod 3: Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik
Episod 4: Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita
Episod 5: Keindahan alam semesta didik manusia tentang ilmu, tawaduk
Episod 6: Balasan neraka bagi golongan kufur, dustakan kekuasaan Allah SWT





