SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menekankan pembangunan generasi muda dan pemerkasaan seni budaya sebagai keutamaan dalam Belanjawan Selangor 2026 menerusi Tekad Keempat.
Dato’ Menteri Besar berkata pemerkasaan generasi muda merupakan pelaburan jangka panjang untuk negeri, memastikan kemakmuran dan kesejahteraan Selangor berterusan.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Negeri juga menekankan kepentingan seni budaya sebagai wadah pengukuhan identiti, penyatuan masyarakat serta penciptaan peluang ekonomi dan pelancongan.
Ringkasan inisiatif Tekad Keempat Belanjawan Selangor 2026:
1. Program Pencerahan Generasi Muda Selangor (RM2.5 juta)
Program ini diperkenalkan bagi melahirkan generasi muda yang berfikiran kritis dan berani serta mampu merancakkan wacana intelektual sejajar dengan pembangunan lestari negeri. Ia menumpukan kepada:
Pembacaan karya klasik dan kontemporari.
Diskusi ilmiah dan penulisan kritis.
Topik seperti tenaga boleh diperbaharui dan digitalisasi.
2. Pembangunan Kepimpinan Belia
Peruntukan RM10,000 dikekalkan kepada setiap Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi.
Institut Pembangunan Kepimpinan Generasi Muda (KITASelangor) akan ditubuhkan pada 2026 dengan geran RM1 juta, dipantau oleh Majlis Sukan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Pembangunan Belia Negeri.
Institut ini bakal melengkapkan ekosistem kepimpinan belia yang seimbang antara aktivisme dan nilai kepimpinan.
3. Pembangunan Sukan dan Bakat Muda
RM1 juta diperuntukkan untuk menaik taraf Litar Lumba Kuala Selangor bagi menggalakkan sukan permotoran yang selamat dan berdaya saing serta melahirkan bakat baharu seperti pelumba muda Hakim Danish Ramli.
Selangor turut menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA ke-22 pada tahun 2026, dengan Bajet Khas RM100 juta meliputi:
Naik taraf kemudahan sukan.
Persediaan atlet dan jurulatih.
Penglibatan komuniti dan kesukarelawanan.
Projek utama: Naik taraf Pusat Akuatik Selangor di Shah Alam, dijangka siap menjelang Jun 2026.
Usaha ini juga sebagai persediaan ke arah penganjuran Sukan Solidariti Islam (ISG) 2029 serta memperkukuh ekonomi dan pelancongan sukan di Selangor.
4. Pemerkasaan Seni dan Budaya Negeri
Kerajaan Negeri menumpukan kepada pemeliharaan dan pembangunan seni budaya melalui pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.
Antara inisiatif:
Program khas sempena Jubli Perak pemerintahan DYMM Sultan Selangor:
Konsert Diraja
Himpunan Kereta Klasik Diraja
Pameran Pemerintahan Tuanku di Muzium Sultan Alam Shah
Penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam seni persembahan pentas.
Penganjuran Program Kebudayaan Pelbagai Kaum dan Orang Asli serta acara kebudayaan daerah untuk memperkukuh warisan budaya dan hubungan antarabangsa.
5. Inisiatif ‘Gallery Hopping Selangor’ (RM500,000)
Dilaksanakan sepanjang tahun 2026 dengan tema pameran suku tahunan.
Merangkumi galeri seni moden, kontemporari dan koleksi sejarah ASEAN serta nusantara.
Bertujuan menghidupkan industri seni tempatan dan menarik minat generasi muda terhadap dunia seni visual serta kolaborasi antarabangsa.




