SHAH ALAM, 24 OKT: Pemilik kediaman di Klang yang mengamalkan gaya hidup mesra alam sepanjang tahun ini berpeluang menikmati rebat cukai taksiran sehingga RM900 pada 2027.
Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata insentif itu meliputi pemasangan panel solar, aktiviti kitar semula dan penggunaan kenderaan elektrik (EV), lapor The Star.
Beliau menjelaskan penilaian terhadap amalan hijau yang dilaksanakan dari Januari hingga Disember 2026 akan dibuat sebelum rebat diberikan kepada pemohon yang layak.
“Ini kali pertama MBDK memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Selepas penilaian dibuat, pembayar cukai yang layak akan menikmati rebat bagi cukai taksiran tahun 2027,” katanya.
Katanya, pemohon perlu memastikan kediaman mereka terletak dalam kawasan pentadbiran MBDK, tidak mempunyai tunggakan cukai taksiran serta menyediakan dokumen sokongan bagi pengesahan.
Menurut Abd Hamid, rebat sekali bayar itu bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk mengamalkan gaya hidup lestari, selaras usaha menjadikan Klang sebuah bandar raya pintar rendah karbon.
Inisiatif berkenaan sebahagian langkah Kerajaan Negeri yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau di kawasan kediaman.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus kepada pemilik kediaman yang memenuhi syarat amalan mesra alam.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada setiap empat majlis bandar raya, termasuk MBDK, bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.
Insentif itu kemudian diperkukuh menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Jun lalu, dengan peningkatan peruntukan kepada RM1.5 juta bagi setiap majlis bandar raya.
Sementara itu, Abd Hamid berkata MBDK akan melaksanakan kempen cabutan bertuah bermula 1 November hingga 31 Disember bagi menggalakkan pembayaran awal cukai taksiran serta penyelesaian tunggakan sepenuhnya melalui portal iPay MBDK.
Sebanyak 65 hadiah utama ditawarkan kepada pembayar cukai yang layak, antaranya motosikal Honda Vario, skuter elektrik, telefon pintar dan jongkong emas.
Kempen itu merupakan antara usaha MBDK menggalakkan pembayaran cukai taksiran secara teratur, selain menghargai pembayar cukai yang menunaikan tanggungjawab mereka.







