SHAH ALAM, 14 NOV: Institut Pembangunan Kepimpinan Generasi Muda KITASelangor akan ditubuhkan tahun depan bagi memantapkan usaha pembangunan kapasiti dan kepimpinan generasi muda di negeri.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia bertujuan melengkapkan ekosistem pembangunan generasi muda yang seimbang komposisi aktivisme dan kepimpinan secara menyeluruh.
"Institut ini akan dipantau penubuhannya melalui Majlis Sukan Negeri Selangor di bawah payung Jawatankuasa Pembangunan Belia Negeri Selangor dengan geran penubuhan sebanyak RM1 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata bagi memastikan kelangsungan pembangunan kepimpinan di peringkat akar umbi, peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS) juga dikekalkan iaitu RM10,000.
PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.
Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Negeri Selangor.




