Tiga program khas sempena Jubli Perak Sultan Selangor

14 Nov 2025, 11:14 AM
Tiga program khas sempena Jubli Perak Sultan Selangor

SHAH ALAM, 14 NOV: Beberapa program khas dirancang sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, tahun depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program itu meliputi Konsert Diraja, Himpunan Kereta Klasik Diraja dan Pameran Pemerintahan Tuanku di Muzium Sultan Alam Shah.

"Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha memperkasa agenda pemeliharaaan dan pembangunan seni budaya menerusi pendekatan yang inklusif, bersepadu, dan berimpak tinggi.

"Program khas ini dilaksana bagi mendekatkan institusi istana dengan rakyat jelata," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Sempena sambutan 25 tahun pemerintahan Baginda Sultan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “SIS” untuk bidaan awam bermula 15 hingga 19 Ogos lalu.

JPJ memaklumkan siri "SIS" merupakan singkatan kepada Sultan Idris Shah menandakan penghormatan kepada Sultan Selangor kesembilan dan meraikan pemerintahan Baginda sejak 2001.

JPJ memaklumkan bidaan akan dijalankan secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid mengikut terma dan syarat sedia ada.