SHAH ALAM, 31 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaksanakan tiga penambahbaikan utama dasar dan produk bermula esok bagi memperkukuh kecukupan persaraan, memperluas liputan perlindungan sosial serta menambah baik pengalaman ahli.
KWSP memaklumkan inisiatif berkenaan selari dengan langkah-langkah Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu, selain mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam menyesuaikan dasar persaraan dengan keperluan semasa.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kecukupan persaraan, memperluas liputan perlindungan sosial serta menambah baik pengalaman ahli secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara penambahbaikan utama ialah peningkatan had amaun Pengeluaran Haji kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji menampung kos semasa.
KWSP berkata langkah itu dibuat sejajar dengan peningkatan kos semasa serta bagi memudahkan perancangan kewangan jemaah.
“Peningkatan had Pengeluaran Haji ini bertujuan membantu ahli menampung kos menunaikan ibadah haji seiring keperluan kewangan semasa.
“Selain itu, keperluan mengesahkan baki simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan kelayakan pengeluaran turut dimansuhkan bagi mempermudah proses permohonan,” katanya.
Penambahbaikan kedua melibatkan pengenalan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh simpanan persaraan golongan berkenaan.
“i-Saraan Plus disediakan khusus untuk menyokong pemandu e-hailing dan p-hailing membina simpanan persaraan melalui caruman sukarela serta insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi.
“Melalui i-Saraan Plus, peserta layak menerima insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000, dengan pendaftaran dibuat melalui penyedia platform yang mengambil bahagian,” katanya.
Pada masa sama, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum, dengan insentif padanan kerajaan diteruskan pada kadar 50 peratus, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.
Penambahbaikan ketiga melibatkan penyelarasan Pengeluaran Melebihi RM1 juta dan Skim Pelaburan Ahli (SPA) selaras dengan pelaksanaan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) bermula esok.
RIA memperkenalkan tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan, iaitu Simpanan Asas RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.
“Pelarasan ini bertujuan mengimbangi akses fleksibel dengan perlindungan jangka panjang terhadap simpanan persaraan ahli, selari dengan kos sara hidup semasa.
“Selaras dengan Simpanan Dipertingkatkan, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta ditambah baik secara berperingkat dengan kenaikan had RM100,000 setahun sepanjang tempoh tiga tahun, bermula RM1.1 juta pada 2026,” katanya.
Selain itu, kelayakan Skim Pelaburan Ahli turut diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan lebihan simpanan yang digunakan untuk pelaburan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.
KWSP turut memperkenalkan penjenamaan baharu kemudahan caruman sukarela, iaitu i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun, bagi menggalakkan lebih ramai ahli menambah simpanan persaraan secara fleksibel.
Maklumat lanjut mengenai semua inisiatif berkenaan boleh diperoleh melalui soalan lazim yang disediakan di laman web rasmi KWSP.


