SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi menghidupkan industri seni Selangor dengan pelbagai program dinamik termasuk ‘gallery hopping’ dan pameran bertema sepanjang tahun 2026.
Langkah ini menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa pemeliharaan dan pembangunan seni budaya secara inklusif, bersepadu dan berimpak tinggi, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025.
Inisiatif ini turut memberi fokus kepada generasi muda melalui penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam seni persembahan pentas serta pelaksanaan Program Kebudayaan Pelbagai Kaum dan Orang Asli di seluruh daerah.
“Kerajaan Negeri yakin usaha sebegini mampu meningkatkan keterlihatan warisan budaya Selangor dan mengukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa,” kata Amirudin.
Selaras dengan semangat itu, konsep ‘gallery hopping’ akan digerakkan dengan menampilkan galeri seni moden, kontemporari serta koleksi bertema sejarah ASEAN dan Nusantara sebagai tarikan utama.
Konsep ini dilihat seiring dengan kejayaan model ‘Art Collaboration’ di Kyoto, Jepun yang berjaya mengangkat semula koleksi peribadi dan galeri kecil ke peringkat lebih tinggi serta menjana minat khalayak muda.
Kerajaan Negeri turut menyasarkan penganjuran acara seni bertema secara suku tahunan sepanjang tahun 2026 sebagai penggerak utama kepada keterlibatan masyarakat dalam sektor ini.
Dalam masa sama, RM1 juta turut diperuntukkan bagi meneruskan Ekspo Ekonomi Kreatif dan membangunkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif meliputi seni, budaya, reka bentuk serta e-sukan.


