ad

Persediaan SUKMA 2026 terima peruntukan RM100 juta

14 Nov 2025, 10:57 AM
Persediaan SUKMA 2026 terima peruntukan RM100 juta

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM100 juta di bawah Bajet Khas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu meliputi tiga komponen utama iaitu pembangunan dan naik taraf kemudahan sukan, persediaan atlet dan jurulatih serta penglibatan komuniti dan kesukarelawanan.

"Antara kerja menaik taraf kemudahan sukan yang utama sempena penganjuran SUKMA 2026 adalah kerja membaik pulih dan menaik taraf Pusat Akuatik Selangor di Persiaran Akuatik, Seksyen 13, Shah Alam.

"Projek ini dijangka siap pada 12 Jun 2026 bertepatan dengan penganjuran SUKMA ke-22 yang akan berlangsung dari 15 sehingga 24 Ogos 2026 dan Para SUKMA dari 5 sehingga 14 September 2026," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata usaha tersebut juga sedikit sebanyak membantu persediaan Selangor selaku tuan rumah untuk menghadapi Sukan Solidariti Islam (ISG).

"Inisiatif ini sekaligus merancakkan industri sukan sebagai peluang ekonomi dan pelancongan baharu untuk negeri," katanya.

Selangor diumum tuan rumah penganjuran Sukan Solidariti Islam (ISG) edisi ketujuh yang akan berlangsung pada 2029.

Ketika ini ISG berlangsung di Riyadh, Arab Saudi dari 7 hingga 21 November ini dengan menghimpunkan atlet elit 57 negara yang bersaing dalam 23 acara bertaraf dunia.

Malaysia turut mempunyai rekod membanggakan di arena berkenaan apabila berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan pungutan pingat.

Atlet negara sudah meraih 91 pingat membabitkan 33 emas, 23 perak dan 41 gangsa sekali gus memperlihatkan kekuatan sukan Malaysia di pentas ini.