ad

Kerajaan Negeri salur bantuan segera mangsa ribut di Kuala Langat

15 Okt 2025, 2:53 PM

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa ribut yang melanda beberapa kawasan di Kuala Langat petang tadi, khususnya di Sijangkang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka oleh Unit Bencana Daerah bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.

“Sejak petang tadi saya memantau situasi ribut yang melanda Kuala Langat terutama kawasan Sijangkang. Bantuan segera akan disalur kepada mangsa.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan meneliti keadaan semasa terutama kesan akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini,” kata beliau menerusi Facebook sebentar tadi.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa dilindungi daripada sebarang musibah serta diberikan kesembuhan dan keselamatan.

Dalam kejadian itu, bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan surau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) berhampiran runtuh hingga mencederakan seorang wanita dan sembilan pelajar.

Sehubungan itu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Harmoni di Kampung Sijangkang dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.