ad

PPS Dewan Harmoni dibuka tempatkan mangsa ribut Sijangkang

15 Okt 2025, 1:15 PM
PPS Dewan Harmoni dibuka tempatkan mangsa ribut Sijangkang
PPS Dewan Harmoni dibuka tempatkan mangsa ribut Sijangkang
PPS Dewan Harmoni dibuka tempatkan mangsa ribut Sijangkang
PPS Dewan Harmoni dibuka tempatkan mangsa ribut Sijangkang

KUALA LANGAT, 15 OKT: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Harmoni di Kampung Sijangkang di sini dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut petang tadi.

Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi berkata bencana itu dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1 susulan beberapa rumah dan premis dilapor mengalami kerosakan.

“Dewan Harmoni dibuka sebagai PPS bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin. PPS ini akan terus beroperasi sepanjang tempoh diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) turut mendoakan segala urusan dipermudahkan.

Terdahulu, kejadian ribut petang tadi turut menyebabkan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan surau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) berhampiran runtuh hingga mencederakan seorang wanita dan sembilan pelajar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas bergegas ke lokasi.

“Setibanya pada jam 4.43 petang didapati berlaku runtuhan membabitkan bangunan pejabat berkeluasan 20 x 40 kaki persegi yang dikategorikan sebagai bangunan kelas B," katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Muklis berkata, pihak bomba menjalankan kerja menyelamat apabila seorang mangsa wanita berusia 51 tahun terperangkap di bawah runtuhan dalam keadaan sedar.

Menurutnya, runtuhan bangunan pejabat itu turut melibatkan sebuah surau Kafa yang terletak berhampiran dengan berkeluasan 50 x 60 kaki persegi yang diklasifikasikan sebagai bangunan kelas A.