ad

Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta

23 Okt 2025, 3:35 AM
Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta
Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta
Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta
Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta
Empat sekolah di Sijangkang dibaik pulih tiga bulan, kos lebih RM10 juta

KUALA LANGAT, 23 OKT: Kerja baik pulih empat sekolah di Sijangkang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukan kos lebih RM10 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata empat sekolah terkesan melibatkan jumlah lebih 6,000 pelajar adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan SMK Sijangkang Jaya.

“Dimaklumkan kebanyakan kerosakan adalah melibatkan bumbung termasuk kekuda bangunan tersebut. Kita jangka perlukan masa tempoh tiga bulan untuk baiki kerosakan dengan kos RM10.1 juta diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Peruntukan ini tidak termasuk kerja pembersihan dengan kos hampir RM1.9 juta dan tidak termasuk kerja pendawaian serta peralatan yang musnah akibat dimasuki air.

“Bagaimanapun, pelajar bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan masuk berikutan bangunan diisytihar selamat. Dianggar lebih 400 pelajar di SMK Sijangkang Jaya bakal mengambil SPM pada 2 November depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke SMK Sijangkang Jaya dan mendengar taklimat berhubung bencana ribut di Sijangkang daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Kuala Langat pada 23 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Amirudin memaklumkan kerja pembersihan melibatkan empat sekolah terbabit telah selesai dan baik pulih sedang giat dilaksanakan terutama di SMK Sijangkang Jaya yang kini mencapai 90 peratus.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan pihaknya akan mempertimbang untuk menambah peruntukan bagi proses baik pulih sekolah sekiranya diperlukan.

“Kita akan lihat sokongan diberikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan pihak lain…namun buat masa ini JKR sedang menguruskan struktur bangunan selain menunggu senarai kerja pendawaian.

“Selain itu, kita berharap pihak sekolah teliti semula sekiranya ada dewan yang strukturnya tidak utuh bagi mengelak kejadian berulang. Namun, untuk bencana di Sijangkang ini ia merupakan laluan angin puting beliung,” ujarnya.

Minggu lalu, beberapa kawasan sekitar Meru, Klang dan Sijangkang dilanda ribut kuat disusuli puting beliung sehingga berlakunya kerosakan teruk kediaman, sekolah serta kenderaan.

Berikutan kejadian, Yayasan MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000 bagi membaik pulih sekolah dan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru.

Bantuan segera itu bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan termasuk penggantian bumbung serta pemulihan kemudahan asas di sekolah terjejas.

Pekerja melakukan kerja pembaikan di Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Kuala Langat pada 23 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR