ad

Yide bantu sekolah, surau dan individu terkesan ribut di Kuala Langat

19 Okt 2025, 5:00 AM
Yide bantu sekolah, surau dan individu terkesan ribut di Kuala Langat
Yide bantu sekolah, surau dan individu terkesan ribut di Kuala Langat
Yide bantu sekolah, surau dan individu terkesan ribut di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 19 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalurkan bantuan kepada sekolah, surau dan individu yang terjejas akibat ribut di daerah ini baru-baru ini.

Lawatan penyerahan bantuan pada 16 Oktober lepas diketuai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohd Sabirin Mohd Sarbini, bersama Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah serta pegawai agensi Islam lain.

"Sebaik menerima maklumat kejadian, Yide segera menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa yang terlibat. Kesemua individu kini ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Harmoni, Kampung Sijangkang bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.

"Yide menyalurkan sumbangan kepada wakil sekolah terlibat menggunakan dana musibah bencana alam, manakala mangsa di PPS menerima bantuan tunai dan kotak makanan hasil peruntukan Fidyah Mais," katanya menerusi Facebook.

Kejadian ribut pada petang 15 Oktober lalu menyebabkan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan surau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) berhampiran runtuh hingga mencederakan seorang wanita dan sembilan pelajar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang.

Tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati runtuhan bangunan pejabat itu turut melibatkan sebuah surau Kafa yang terletak berhampiran dengan berkeluasan 50 x 60 kaki persegi yang diklasifikasikan sebagai bangunan kelas A.

Dalam kejadian berasingan, Yide turut melawat Surau Al-Irsyadiyah, Seksyen 17 Shah Alam yang turut terkesan ribut dan menyerahkan sumbangan tunai kepada Timbalan Pengerusi surau tersebut. Penyerahan dilakukan oleh Pengurus Operasi Kebajikan Yide, Muhd Zubair Azizan.

Menurut Yide, bantuan tersebut bertujuan membantu proses membaik pulih kerosakan yang dialami sekolah, surau dan individu terbabit. Yayasan itu turut mengajak masyarakat terus membudayakan amalan infaq dan sedekah sebagai sokongan kepada mereka yang ditimpa musibah.