ad

Kronologi penculikan Global Sumud Flotilla: Dunia bersuara lawan kezaliman Israel

4 Okt 2025, 9:30 AM
Kronologi penculikan Global Sumud Flotilla: Dunia bersuara lawan kezaliman Israel

Penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 23 rakyat Malaysia oleh tentera Israel mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Beberapa aktivis termasuk warga Ireland mendakwa mereka dilayan secara kasar termasuk ditendang ketika cuba tidur selain dipaksa berlutut dengan tangan diikat serta dinafikan akses kepada keperluan asas.

Gelombang solidariti global turut meningkat dengan kempen tanda pagar seperti #FreeGSFVolunteers #StandWithGSF dan #Stand4Sumud menyeru keadilan buat aktivis dan rakyat Palestin.

Berikut merupakan kronologi dan fakta penting mengenai penahanan aktivis Global Sumud Flotilla yang perlu anda tahu:

30 SEPTEMBER 2025

  • Kapal GSF melepasi zon kuning, dijangka memasuki zon merah pada 1 Oktober 2025

Para penunjuk perasaan melaungkan slogan semasa demonstrasi, selepas Israel memintas beberapa kapal dalam Global Sumud Flotilla yang berusaha untuk sampai ke Gaza dan memecahkan sekatan laut Israel, berhampiran kedutaan Israel di Athens, Greece, pada 2 Oktober 2025. Foto REUTERS

1 OKTOBER 2025

  • Peningkatan aktiviti dron di lokasi kapal

  • 9.20 malam - Kapal pertama Seulle berjaya memasuki Zon Merah R3.

  • Aktivis Heliza Helmi sempat berkongsi detik cemas apabila dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.

  • Aktivis Hazwani Helmi melaporkan tentera Israel melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal mereka.

2 OKTOBER 2025

  • Aktivis terkenal dunia, Greta Thunberg ditahan oleh tentera Israel selepas beberapa kapal GSF dipintas.

  • 2.03 pagi - Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) sahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel.

  • 2.30 pagi - Tiga kapal GSF iaitu Alma, Sirius dan Adara dipintas tentera Israel.

  • 5.19 pagi - Aktivis Farah Lee dedah Israel guna semburan air bertekanan tinggi sehingga menyebabkan semua sukarelawan di atas bot terpelanting.

  • 6.00 pagi - 13 rakyat Malaysia terputus hubungan dengan SNCC, lapan termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel.

  • 7.50 pagi - Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC.

  • Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma; serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan menghalang misi kemanusiaan itu jelas memperlihatkan penghinaan mutlak Israel bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, malah turut mencabar nurani dunia.

  • Presiden Colombia, Gustavo Petro mengumumkan pengusiran semua diplomat Israel dari negara itu

  • 10:00 pagi - 12 rakyat Malaysia disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza, lima lagi dilaporkan terputus hubungan.

  • Selangor mengecam tindakan Israel menahan 12 aktivis Malaysia dan mendesak semua tahanan dibebaskan

  • Perdana Menteri menggesa Israel segera membebaskan semua aktivis serta sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang ditahan

  • 10.44 pagi - 201 peserta GSF, 14 flotilla dipercayai ditahan Israel.

  • Semua masjid dan surau di bawah seliaan JAKIM dan JAWI diarah mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah.

  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meminta semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama

  • 2.00 petang - Seramai 17 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel, enam terputus hubungan.

  • Kapal Fair Lady yang membawa Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dan Ustaz Muhammad Abdullah dilaporkan dipintas

  • 3.30 petang - Seramai 15 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan oleh tentera Israel.

  • PM minta Washington campur tangan bebaskan sukarelawan GSF daripada tahanan Israel

  • 4.00 petang - Laungan takbir 'Allahuakbar' dan 'hancur Israel' bergema dalam Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai tanda protes ke atas sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF)

  • Kumpulan Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyerahkan penyerahan memorandum kepada pihak kedutaan sebagai tanda protes namun tiada wakil Kedutaan AS tampil menerima memorandum berkenaan.

  • Aktivis Ardell Aryana bersama 19 sukarelawan lain yang menaiki kapal Mikeno disahkan ditahan oleh tentera Israel.

  • 5.16 petang - PM sahkan 23 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel

  • Semua rakyat Malaysia yang ditahan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. Kementerian Luar Negeri memaklumkan, mereka yang ditahan kini berada dalam keadaan selamat dan sihat.

  • 9.00 malam - Ultras Malaya berkumpul di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda protes ke atas sekatan misi GSF oleh Israel.

  • SNCC sahkan empat kapal yang membawa sukarelawan Malaysia telah memasuki pelabuhan Ashdod di Ashkelon, Tel Aviv.

  • Israel mendakwa tiada satu pun kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza berjaya menembusi sekatan tentera laut mereka.

3 OKTOBER 2025

  • GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan Israel melabelkan aktivis misi GSF sebagai pengganas adalah kenyataan biadab.

  • Polis Israel mendakwa tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam 40 kapal GSF yang dipintas.

  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyifatkan GSF adalah misi kemanusiaan murni yang menzahirkan semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang kelaparan di Gaza, khususnya warga emas, wanita dan kanak-kanak.

  • Kerajaan berusaha memastikan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dapat dibebaskan menerusi rundingan diplomatik dengan negara besar.

  • Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak menolak kemungkinan Ahli Dewan Negeri (ADN) membawa usul mengutuk kekejaman rejim Zionis dalam persidangan akan datang yang dijadual pada 14 November ini.

  • 12 tengah hari - Kapal Marinette masih meneruskan pelayaran meskipun 42 kapal lain telah dipintas tentera Israel

  • Sebanyak 11 lagi kapal sedang belayar menuju Semenanjung Gaza bagi mencabar sekatan Israel.

  • Kapal Conscience bersama aktivis, doktor, wartawan dan sukarelawan dari lebih 20 negara berlayar menuju Gaza, membawa ubat-ubatan, makanan bayi, serta harapan rakyat dunia untuk memecah sekatan haram Israel.

  • 2.38 petang - Kapal Marinette dilaporkan dalam keadaan memecut belayar dengan kelajuan 6 knot menuju ke Gaza

  • 3.30 petang - SNCC sahkan kapal Marinette telah dipintas Israel, tiada rakyat Malaysia berada di atas kapal tersebut

  • 3.40 petang - Kapal peninjau Observer Shireen, yang menyediakan khidmat guaman dan perubatan sepanjang pelayaran Misi GSF disahkan selamat berlabuh di Pelabuhan Paphos, Cyprus.

  • Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mulakan konsultasi untuk wakili aktivis Malaysia

  • Sembilan kapal baharu telah tiba di pesisir utara Marsa Matruh, Mesir dan meneruskan pelayaran ke Gaza.

  • SNCC sahkan 23 sukarelawan Malaysia dijangka dibawa keluar dari Israel dalam 48 jam, Malaysia bersama-sama Turkiye dijangka menjadi antara negara pertama yang akan membawa pulang rakyat masing-masing.

  • SNCC nafi tuduhan Israel kapal GSF tidak bawa bantuan kemanusiaan.

  • Selangor sediakan bantuan sebaik sukarelawan GSF pulang ke tanah air.

  • Selangor peruntuk RM1 juta tubuh MIHC perkukuh usaha bantu Gaza.

  • Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan.

  • Puluhan ribu rakyat Itali turun ke jalan raya sebagai tanda solidariti terhadap GSF dan rakyat Gaza.

4 OKTOBER 2025

  • Beberapa warga Ireland yang menyertai GSF mendakwa mereka berdepan layanan kasar dan ganas semasa dalam tahanan Israel termasuk ditendang ketika cuba tidur selain dipaksa berlutut dengan tangan diikat serta dinafikan akses kepada keperluan asas.

  • SNCC memaklumkan seramai 462 peserta flotila telah ditahan rejim Zionis dan kini sedang melalui prosiding imigresen rejim Israel.

  • Pada awalnya peserta dinafikan hak bertemu peguam. Dalam tempoh 24 jam terakhir, peguam dari ADALAH berjaya menemui 331 peserta di Pelabuhan Ashdod

  • Empat (4) peserta warganegara Itali telah dibebaskan.

  • Kesemua 23 peserta Malaysia ditempatkan di Penjara Ketziot, Israel. 20 orang sudah berjaya dihubungi pihak ADALAH, manakala 3 orang lagi sedang diuruskan.

  • Delegasi Malaysia dinasihatkan oleh ADALAH supaya menandatangani borang Request for Immediate Departure bagi mempercepatkan proses pembebasan.

  • Kerajaan Malaysia bersiap siaga membawa pulang 23 delegasi sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye, yang bertindak sebagai penghubung diplomatik utama. Turkiye menjadi saluran rundingan diplomatik utama antara SNCC, kerajaan Malaysia dan rejim Zionis.

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua 23 aktivis Malaysia yang ditahan dalam perjalanan ke Istanbul dan akan pulang ke tanah air selepas berehat di sana.

  • Tambahnya, misi GSF ini adalah bukti Israel adalah kejam dan tidak bertamadun.

*Setakat 5.30 petang, 4 Oktober 2025.