SHAH ALAM, 1 Mei: Global Sumud Flotilla merupakan konvoi antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan, termasuk makanan dan perubatan, untuk rakyat Palestin yang berdepan kepungan akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Misi pertama Global Sumud Flotilla 1.0 dilakukan pada September 2025 yang disertai kira-kira 500 aktivis, Malaysia antara 44 negara yang menyertai pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza sebagai simbol solidariti serta mengecam tindakan Israel.
Ini adalah lanjutan daripada usaha yang digerakkan sejak tahun 2010 untuk memecahkan kepungan rejim Zionis ke atas Gaza.

Namun, misi tersebut terkandas di perairan Gaza selepas disekat tentera laut Israel. Konflik yang berlarutan serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman membawa kepada pelaksanaan misi Global Sumud Flotilla 2.0.
Misi 2.0 ini berlepas ke Gaza pada 12 April lalu dalam usaha memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.
Malaysia tidak terkecuali menyertai misi kali ini, yang bergerak dari Barcelona melibatkan beberapa buah kapal dan disertai lebih 1,000 aktivis, termasuk kumpulan aktivis dari negara ini.
Mengapa Malaysia menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0?
Awal Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan MADANI akan terbabit secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 yang disertai lebih 80 negara di seluruh dunia.

Beliau menjelaskan pembabitan secara langsung dalam misi itu merupakan kesinambungan perjuangan moral antarabangsa dalam menegakkan keadilan serta hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama.
Kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla memaklumkan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dilancarkan pada 12 April dari Pelabuhan Barcelona.
Penyelaras flotilla, Saif Abukeshek, berkata misi tersebut melibatkan kira-kira 100 bot dengan lebih 2,000 peserta, manakala konvoi darat akan berlepas dari Mauritania pada 10 April bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Siapakah yang mengetuai misi bantuan Malaysia ke Gaza?
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari diamanahkan mewakili perdana menteri untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan membawa 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.
Selangor turut menyalurkan RM1.5 juta bagi membantu rakyat Gaza menerusi misi tersebut, termasuk menyediakan pelbagai keperluan asas untuk disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
Bagaimana misi Global Sumud Flotilla 2.0 ini dilaksanakan?
Lima fasa strategik misi Global Sumud Flotilla 2.0 digerakkan bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.
Fasa pertama melibatkan penghantaran bantuan melalui darat dan laut.
Fasa kedua merangkumi sidang media antarabangsa yang dirancang di Rafah bagi menjelaskan pendirian Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Fasa ketiga menyaksikan pergerakan kumpulan misi daripada pelbagai segmen masyarakat ke beberapa lokasi utama, termasuk Barcelona dan Itali.
Fasa keempat menumpukan kepada penganjuran kongres parlimen melalui World Sumud Summit Parliamentary Inaugural Congress di Brussels bagi menggesa tindakan lebih tegas di peringkat antarabangsa.
Fasa kelima melibatkan tindakan perundangan dengan usaha mengheret rejim ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melalui saluran undang-undang oleh Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) di bawah naungan Wisma Putra.
Apakah perkembangan terkini Global Sumud Flotilla 2.0?
Pada 12 April, peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza, dan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menghantar perwakilan rasmi.

Sebanyak 30 kontena bantuan kemanusiaan yang mengandungi makanan serta bekalan perubatan akan dihantar ke Palestin melalui laluan darat dan kini menunggu masa sesuai untuk memasuki Rafah, termasuk mendapatkan kebenaran pihak berkaitan.
Misi bantuan memasuki fasa baharu yang lebih intensif apabila kapal-kapal dari Barcelona dan seluruh Itali berhimpun di Siracusa, sekali gus membentuk armada lebih besar sebagai persiapan meneruskan pelayaran ke Gaza.
Armada GSF terus berkembang apabila 60 kapal dari Itali dan Sepanyol berlabuh di Pelabuhan Augusta, Itali, sebelum dijadualkan belayar ke Gaza.
Namun, kapal-kapal yang menyertai misi ini diganggu oleh pasukan Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 45 batu nautika dari Pulau Kythira, Greece dan lebih 600 batu nautika dari Gaza.
Apakah yang berlaku kepada aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0?
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara individu yang diculik tentera Zionis di Kepulauan Crete, Greece. Mereka menaiki enam daripada 22 kapal yang ditahan.

Sepuluh rakyat Malaysia yang diculik ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); serta Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi yang masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea; dan Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Perdana menteri memaklumkan Kementerian Luar dan seluruh jentera kerajaan akan menghubungi negara-negara sahabat bagi mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
Salah satu daripada 22 kapal yang dipintas berjaya dihubungi. Kapal dikenali sebagai ‘TamTam’ terputus hubungan selama lebih 10 jam selepas alat komunikasi dan enjinnya dipercayai disabotaj.

Berikutan itu, Kementerian Israel memaklumkan puluhan aktivis yang ditahan dibawa ke Greece, dengan kira-kira 175 aktivis dipindahkan daripada lebih 20 bot.
Sebanyak 12 negara, termasuk Malaysia, mengecam serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan ke Gaza di perairan antarabangsa.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata terdapat maklumat awal bahawa kesemua aktivis akan dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece pada 12 tengah hari tadi (waktu Malaysia).
“Namun, status terkini masih belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan juga kumpulan di lapangan kita di pelabuhan tersebut,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 pada 1 Mei 2026.
Terbaharu, kesemua aktivis berkenaan dibawa ke Kampung Atherinolakkos di wilayah Lasithi, timur Crete, Greece sebelum dipindahkan dengan bas ke Lapangan Terbang Heraklion, lapor penyiar SKAI yang memetik sumber tempatan.
Dari lapangan terbang itu, mereka akan dihantar pulang ke negara masing-masing.
Apa reaksi dunia?
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan Israel itu bukan sahaja melanggar undang-undang perairan antarabangsa, malah mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan apabila kapal bantuan dipintas dan aktivis diculik berhampiran Pulau Crete, Greece.

“Malah, kelompok ini telah sekian lama membuktikan bahawa mereka berhasrat meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin; sama ada dalam bentuk serangan pengeboman ataupun penghentian bantuan kemanusiaan oleh pihak lain seperti insiden terbaharu ini.
“Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat, termasuk rakyat Lebanon yang diusir dari tanah sendiri, ataupun penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan.
“Saya menggesa kecaman dan ikhtiar yang mencakupi semua aspek untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis Israel dari semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada 30 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk tindakan ganas rejim Zionis yang disifatkan sebagai pelanggaran serius undang-undang maritim selain menyerupai perbuatan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.

“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.
"Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi," katanya pada 30 April lalu.
Di peringkat antarabangsa, Itali turut mendesak pembebasan segera 24 orang rakyatnya yang diculik Israel. Dalam kenyataan bersama Jerman, kedua-dua negara Kesatuan Eropah itu turut mendesak undang-undang antarabangsa dihormati dan semua pihak terlibat tidak melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez turut mengecam tindakan Israel, melalui hantaran di platfrom X, menyifatkan “Israel sekali lagi mencabul undang-undang antarabangsa dengan menyerang kapal awam di perairan (antarabangsa) yang bukan miliknya.”
Tambahnya lagi, Sepanyol juga akan “melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi melindungi dan membantu rakyat Sepanyol yang ditahan.”
Kementerian Luar Turkiye turut mengecam tindakan Israel menahan kapal, menyifatkannya sebagai “tindakan lanun”.
“Dengan menyasarkan Global Sumud Flotila, yang misinya adalah untuk menarik perhatian kepada bencana kemanusiaan dihadapi penduduk Gaza yang tidak berdosa, Israel telah melanggar prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei turut menuduh Israel bertindak seperti “lanun”. Dalam ulasan disiarkan agensi penyiaran Iran, IRIB, Baghaei berkata “serangan” Israel ke atas misi Global Sumud Flotilla adalah “serangan untuk melemahkan nurani kemanusiaan.”
Hamas dalam hantaran di Telegram turut mengecam pintasan Israel, menuduh negara Zionis itu melakukan jenayah tanpa kebertanggungjawaban dan mendesak pembebasan segera semua aktivis yang diculik.
Badan pemerhati hak asasi dunia, Amnesty International turut mendesak pembebasan semua aktivis dalam kenyataan dikeluarkan menerusi media sosialnya.
“Sementara dalam tahanan, pihak berkuasa Israel perlu memastikan semua aktivis diberikan akses serta merta kepada sokongan kedutaan, dilayan secara peri kemanusiaan dan dilindungi daripada siksaan dan semua bentuk layanan buruk,” kata Amnesty lagi.
Selain itu, badan pemerhati keselamatan wartawan dunia, Reporters Without Borders turut mendesak pembebasan sepenuhnya tiga wartawan yang berada di atas kapal Flotilla, termasuk dua orang wartawan Al-Jazeera.
“Israel bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka,” katanya.









