SHAH ALAM, 4 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan Israel menahan kapal misi Global Sumud Flotilla jelas membuktikan rejim itu bersikap kejam dan tidak bertamadun.
Beliau berkata walaupun misi bantuan kemanusiaan global berdepan sekatan tentera Israel, misi tersebut berjaya menzahirkan kesedaran kepada ratusan juta masyarakat dunia mengenai kekejaman Zionis yang bukan sahaja menindas rakyat Palestin malah menghalang bantuan kemanusiaan.
“Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan. Tetapi rejim Israel melarang dengan keras apa juga bentuk bantuan. Ini hanya berlaku di bawah pemerintahan yang mempunyai falsafah sangat zalim, tidak bertamadun,” katanya menerusi siaran langsung di media sosial sebentar tadi.
Anwar berkata penyertaan aktivis dari Malaysia, Indonesia, Eropah dan pelbagai negara lain dalam misi kebebasan itu memberi mesej jelas bahawa dunia menolak penindasan Israel. Katanya, rundingan diplomatik juga tercetus hasil tekanan masyarakat antarabangsa yang semakin bersolidariti dengan Palestin.
Beliau menambah, kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian mendukung sebarang keputusan munasabah yang dipersetujui bersama negara Arab, dunia Islam serta pihak Hamas selagi ia menjamin kebebasan Palestin, penghentian serangan dan pembebasan tahanan.
“Setakat ini tumpuan saya sepenuhnya adalah membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan Israel. Alhamdulillah, kita doakan perjalanan mereka dari Israel ke Istanbul dan seterusnya ke Kuala Lumpur selamat serta dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Misi Global Sumud Flotilla berlepas dari pelabuhan Türkiye bulan lalu dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepung Israel sejak Oktober 2023. Kapal tersebut membawa 497 aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia, Indonesia, Jordan, Eropah dan Amerika Syarikat.
Namun, kesemua kapal dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa minggu lalu sebelum kesemua aktivis ditahan. Tindakan tersebut dikecam pelbagai pihak kerana dianggap mencabuli undang-undang maritim serta menafikan hak kemanusiaan rakyat Palestin.