KUALA LUMPUR, 3 OKT: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyifatkan Global Sumud Flotilla (GSF) adalah misi kemanusiaan murni yang menzahirkan semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang kelaparan di Gaza, khususnya warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Seri Paduka Baginda bertitah misi GSF itu contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Sukarelawan-sukarelawan yang terlibat dalam misi GSF itu termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
“Mereka dalam misi itu hanya membawa bekalan makanan namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat,” titah Seri Paduka Baginda menerusia akaun Facebook Royal Press Office hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini hari ini, yang menyembah maklum tentang perkembangan semasa GSF, termasuk usaha kerajaan Malaysia bagi membebaskan sukarelawan yang terlibat.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat Malaysia dipermudah dan dilindungi Allah SWT.