ad

Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan

4 Okt 2025, 1:18 AM
Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan
Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan
Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan
Selangor negeri pertama lancar tabung bina apartment di Gaza, simbol solidariti berterusan

SEPANG, 4 OKT: Selangor menjadi negeri pertama melancarkan tabung khas bagi membina apartmen tujuh tingkat di Gaza, sebagai simbol sokongan berterusan terhadap rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu digerakkan sejak setahun lalu bagi memperkukuh misi bantuan ke wilayah berkenaan.

“Selangor sebagai negeri pertama menyahut seruan dengan melancarkan tabung pembinaan blok apartmen tujuh tingkat berhampiran masjid dan tangki air Darul Ehsan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Global Sumud di sini, semalam.

Namun jelas beliau, projek tersebut terpaksa dihentikan sementara susulan keadaan keselamatan di Gaza yang semakin meruncing.

Buat masa ini, keutamaan diberikan kepada penghantaran bantuan kecemasan serta sokongan kemanusiaan segera kepada penduduk yang terjejas.

Amirudin turut menjelaskan pelbagai usaha telah dilakukan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, namun kesan ketara terhadap penindasan di Gaza masih belum dapat dilihat.

“Malangnya kita tidak melihat anjakan besar terhadap situasi di Gaza dengan pembunuhan dan kehancuran yang terus berlaku,” ujarnya.

Beliau memaklumkan sebelum ini Kerajaan Negeri turut menyumbang dua kenderaan ke Gaza, iaitu sebuah ambulans yang telah musnah akibat serangan serta sebuah pacuan empat roda yang masih digunakan sehingga kini.

Usaha itu, katanya, dilaksanakan bersama badan kemanusiaan termasuk MAPIM.

“Dengan sokongan yang kita berikan, apa yang mereka laksanakan hari ini bukan sahaja membuka mata dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia, tetapi juga warga dunia,” katanya sambil menegaskan kepentingan solidariti berterusan dalam mendesak pembebasan Gaza daripada cengkaman rejim Zionis.

Pada 28 Mac tahun lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza. Kutipan itu akan dimanfaatkan untuk pembinaan Apartment Darul Ehsan, Masjid Darul Ehsan dan Menara Tangki Air Darul Ehsan di Gaza.