Selangor cadang PBT, agensi kerajaan guna produk warisan dalam majlis rasmi

29 Nov 2026, 3:00 AM
Selangor cadang PBT, agensi kerajaan guna produk warisan dalam majlis rasmi
Selangor cadang PBT, agensi kerajaan guna produk warisan dalam majlis rasmi
Selangor cadang PBT, agensi kerajaan guna produk warisan dalam majlis rasmi

KUALA KUBU BHARU, 29 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperluas penggunaan produk warisan dalam majlis rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT), anak syarikat dan agensi kerajaan bagi membantu usahawan luar bandar memperoleh tempahan secara berkala.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu berpotensi menjana tempahan sekurang-kurangnya 3,600 unit produk warisan dalam satu pusingan sekiranya kesemua PBT menempah masing-masing 300 unit.

“Dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya sudah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengeluarkan pekeliling atau arahan kepada semua PBT, anak syarikat dan agensi kerajaan.

“Apabila ada kitaran itu, kita akan menghidupkan usahawan kecil di luar bandar supaya mereka sentiasa mendapat tempahan daripada PBT,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Festival Makanan Warisan Selangor 2026 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dataran Warisan di sini, semalam.

Edaran 12,500 biji Tat Bengkulu pada Festival Makanan Warisan Selangor 2026 di Kuala Kubu Bharu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada 28 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Borhan, makanan tradisional seperti nasi ambeng dan punten serta minuman air kelapa muda boleh dihidangkan kepada tetamu, manakala kerepek dan cenderamata berbentuk wau kapal boleh dijadikan buah tangan.

Katanya, setiap daerah di Selangor mempunyai usahawan dengan kepakaran menghasilkan produk warisan tersendiri, termasuk kuih Tat Bengkulu di Hulu Selangor.

Beliau berkata Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berperanan mengenal pasti identiti warisan negeri, manakala Tourism Selangor bertanggungjawab memperluas promosi produk berkenaan.

“Saya mengharapkan anak tempatan, khususnya di daerah Hulu Selangor, dengan kerjasama PBT, pejabat daerah dan agensi, memperkasakan warisan ini dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan, seterusnya diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Festival yang menarik hampir 10,000 pengunjung itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi edaran 12,500 biji Tat Bengkulu yang habis diedarkan lebih awal kepada pengunjung.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.