EXCO: Selepas Tat Bengkulu, Selangor rancang ketengah wadai kepeng

28 Nov 2026, 2:30 PM
EXCO: Selepas Tat Bengkulu, Selangor rancang ketengah wadai kepeng
EXCO: Selepas Tat Bengkulu, Selangor rancang ketengah wadai kepeng
EXCO: Selepas Tat Bengkulu, Selangor rancang ketengah wadai kepeng

KUALA KUBU BHARU, 28 NOV: Selepas Tat Bengkulu diwartakan sebagai makanan warisan Selangor, Kerajaan Negeri merancang mengetengahkan wadai kepeng, makanan tradisional masyarakat Banjar di Sabak Bernam, tahun depan.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata perancangan itu merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara dan memperkenalkan kepelbagaian khazanah gastronomi masyarakat di negeri ini.

“Insya-Allah, tahun depan kita merancang ke daerah Sabak Bernam untuk mengetengahkan wadai kepeng daripada suku kaum Banjar.

"Kita mahu setiap daerah diberikan ruang dan peluang untuk memperkenalkan khazanah warisan masing-masing.

"Saya percaya masih banyak makanan tradisional di Selangor yang mempunyai nilai sejarah dan budaya tersendiri, namun belum dikenali secara meluas oleh masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah menandatangani plat perasmian Temasya Jalanan Kuala Kubu Bharu sempena Festival Makanan Warisan Selangor 2026 di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu pada 28 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Festival Makanan Warisan Selangor 2026 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dataran Warisan di sini, hari ini.

Borhan berkata festival berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung, manakala kuih Tat Bengkulu yang disediakan bagi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) habis diedarkan lebih awal.

Menurutnya, penganjuran festival itu memberi peluang kepada orang ramai mengenali makanan tradisional masyarakat Bengkulu, sekali gus memastikan warisan berkenaan terus dihargai.

“Bagi mereka yang tidak pernah mengenali kuih ini, kini mereka tahu kuih ini sangat enak dan perlu diwarisi generasi muda,” ujarnya.

Tat Bengkulu, kuih tradisional berintikan kelapa yang diwarisi masyarakat berketurunan Bengkulu di Hulu Selangor, diisytiharkan sebagai makanan warisan Selangor pada 28 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas keistimewaan Tat Bengkulu, Borhan berkata setiap makanan tradisional mempunyai sejarah dan nilai tersendiri yang mencerminkan cara hidup masyarakat terdahulu.

“Tat Bengkulu ini istimewa kerana rasanya sangat sedap dan tahan lama, malah boleh bertahan sehingga dua minggu.

“Sejarahnya dahulu, orang membawa kuih ini sebagai bekalan ketika keluar menoreh getah,” katanya.

Beliau berharap usaha mengetengahkan makanan tradisional dapat diteruskan dengan melibatkan suku kaum lain di Selangor bagi memastikan khazanah warisan negeri kekal terpelihara.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.