Temasya Seni Budaya meriahkan sambutan Jubli Perak Sultan Selangor

22 Nov 2026, 1:01 AM
Temasya Seni Budaya meriahkan sambutan Jubli Perak Sultan Selangor
Temasya Seni Budaya meriahkan sambutan Jubli Perak Sultan Selangor
Temasya Seni Budaya meriahkan sambutan Jubli Perak Sultan Selangor
Temasya Seni Budaya meriahkan sambutan Jubli Perak Sultan Selangor

SHAH ALAM, 22 NOV: Keadaan cuaca tidak menentu tidak menghalang ribuan pengunjung memeriahkan Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, malam tadi.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata temasya yang memasuki tahun kedua penganjuran itu diadakan di Shah Alam bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor yang dirai sepanjang Oktober lalu.

“Kali ini kita buat empat hari dan di dalam bandar, dan kebetulan juga kita menyambut pemerintahan 25 tahun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, maka kita ikut supaya rakyat dapat merasai kemakmuran di Selangor.

“Kita sasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung dalam penganjuran selama empat hari ini. Saya lihat ramai yang hadir hari ini. Kita jangka esok juga akan lebih ramai, terutama dalam larian budaya esok (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan temasya itu.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 21 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, beliau menyempurnakan Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 yang turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

Pada majlis sama, Borhan turut menyampaikan Insentif Kebudayaan Kerajaan Negeri sebanyak RM5,000 kepada setiap persatuan etnik terpilih di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor.

Mengulas kelainan penganjuran tahun ini, beliau berkata temasya berkenaan turut mengetengahkan reruai seni budaya dari setiap daerah dengan penyertaan PBT dan persatuan kebudayaan terpilih.

“Tahun ini kita tampilkan kelainan sikit kerana dibuat di dalam bandar. Kita juga ketengahkan reruai seni budaya setiap daerah, selain sumbangan insentif kebudayaan yang mereka yang terpilih,” katanya.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Perasmian Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 21 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Temasya anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) itu menampilkan pelbagai acara termasuk persembahan kesenian tradisional, peragaan Pesona Busana Selangor dan demonstrasi penyediaan makanan tradisional.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan teknik pembuatan wau kapal, baju kurung asli dan dodol, selain menyertai sukan rakyat, Larian Warisan Selangor serta festival makanan menerusi Pesta Seri Rasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.