KUALA KUBU BHARU, 28 NOV: Keunikan Tat Bengkulu sebagai kuih tradisional masyarakat berketerunan Bengkulu di Hulu Selangor mendapat pengiktirafan apabila secara rasmi diisytiharkan sebagai makanan warisan Selangor hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata makanan tradisional bukan sekadar juadah untuk dinikmati, malah mempunyai nilai sejarah dan budaya yang mencerminkan identiti sesebuah masyarakat.
“Makanan yang diwarisi daripada generasi dahulu juga merupakan sebahagian daripada warisan tidak ketara dan identiti negeri yang perlu dipelihara dan dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor 2026 di Dataran Warisan di sini, hari ini.
Amirudin berkata makanan tradisional Selangor juga wajar diperkenalkan ke peringkat antarabangsa dan tidak hanya diketengahkan menerusi pameran tempatan.

Beliau turut berkongsi pengalaman membawa Tat Bengkulu ke India sempena program keusahawanan ketika menyandang jawatan EXCO sekitar 2017 atau 2018.
“Ini semua merupakan kekayaan yang harus kita pelihara. Bukan hanya kita nikmati, bukan hanya kita makan, tetapi harus dipertahankan,” katanya.
Menurut Amirudin, Hulu Selangor merupakan antara daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat Minangkabau, Mandailing, Rawa, Bengkulu serta Bugis.
Meskipun mempunyai latar belakang dan sejarah berbeza, katanya, masyarakat berkenaan hidup secara harmoni selama ratusan tahun sehingga membentuk identiti kebudayaan tersendiri.
"Keunikan makanan tradisional juga berkait rapat dengan sejarah dan cara hidup masyarakat, seperti burasak yang menjadi bekalan masyarakat Bugis ketika belayar," katanya.

Amirudin turut menegaskan kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disertai kekuatan identiti kebudayaan.
“Kehidupan kita bukan hanya diukur dengan bangunan yang hebat, jalan raya yang mantap, pelabuhan yang gah dan lapangan terbang yang sibuk sahaja.
“Tetapi orang ingin melihat kelainannya, ciri kebudayaannya,” ujarnya.
Festival Makanan Warisan Selangor yang memasuki penganjuran kali kelima mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan khazanah makanan tradisional.
Penganjuran kali ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi edaran 2,500 set Tat Bengkulu membabitkan 12,500 biji kuih tradisional berkenaan.

Bagaimanapun, Amirudin berkata pengiktirafan itu bukan matlamat utama, sebaliknya menjadi tarikan untuk meningkatkan perhatian masyarakat terhadap makanan tradisional.
“Yang pentingnya bukan Malaysia Book of Records itu. Yang penting bagi saya ialah kita mahu memperkukuh makanan tradisi, mewartakannya dan mula mengembangkannya,” katanya.









