Muzium Setem bakal dibuka kepada umum pada 2028 - EXCO

24 Okt 2026, 9:00 AM
Muzium Setem bakal dibuka kepada umum pada 2028 - EXCO

KUALA LANGAT, 24 OKT: Muzium Setem di Seksyen 14, Shah Alam kini selesai dan dijangka dibuka kepada orang awam pada 2028, maklum EXCO Kebudayaan.

Datuk Borhan Aman Shah berkata penyerahan rasmi bangunan berkenaan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dijadual disempurnakan Dato’ Menteri Besar minggu depan.

Menurutnya, bangunan yang direka menyerupai sampul surat itu kini memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), dengan tumpuan seterusnya diberikan kepada penyediaan bahan pameran serta teknologi bagi mempamerkan koleksi setem.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan di Laman Madani@Kampung Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Muzium Setem ini sudah siap dan CCC juga sudah keluar, kita tinggal mahu buat pengisian sahaja. Kita juga mahu dapatkan perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk nama muzium tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Komuniti Madani, Kampung Tanjung Sepat, di sini, hari ini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata pihaknya berhasrat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi mendapatkan perkenan nama rasmi muzium berkenaan sebelum dimuktamadkan.

Menurutnya, penyediaan pameran memerlukan masa dan penggunaan teknologi bersesuaian kerana saiz setem yang kecil memerlukan kaedah paparan khusus supaya pengunjung dapat melihat koleksi dengan lebih jelas.

Muzium itu turut dirancang dilengkapi bilik kebal untuk menyimpan setem unik bernilai tinggi, selain ruang pameran luas bagi menganjurkan program dan aktiviti interaktif.

“Kita mahu muzium ini menjadi muzium setem berteknologi tinggi yang khusus mengenai setem. Kita juga mahu menarik minat golongan belia terhadap hobi mengumpul setem,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.